suria

FGV Minta Henti Spekulasi Berkenaan Pelantikan Emir

KUALA LUMPUR: Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) meminta semua pihak supaya menghentikan spekulasi mengenai pelantikan Mohd Emir Mavani Abdullah sebagai Presiden/Ketua Pegawai Eksekutifnya yang baharu.

Pengerusi FGV Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata ini bagi membolehkan FGV, yang diketuai Emir, menumpukan perhatian kepada penyampaian nilai kepada para pemegang saham dan menyumbang kepada industri minyak sawit negara.

"Lembaga pengarah yakin Emir dapat membawa FGV ke hadapan bagi meneruskan Rangka Tindakan Strategik yang bertujuan untuk muncul sebagai perniagaan asas tani terkemuka," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Beliau mengulas beberapa laporan berita daripada sumber-sumber yang tidak dinamakan berhubung pelantikan Emir.

Isa berkata pelantikan Emir dibuat oleh Lembaga Pengarah setelah berpuas hati bahawa beliau mempunyai kebolehan dan pengalaman untuk menerajui pertumbuhan masa hadapan Kumpulan FGV.

"Emir mempunyai pengalaman dalam sektor korporat dan kerajaan di Malaysia dan luar negara dalam pelbagai bidang. Beliau menganggotai lembaga pengarah FGV sejak Julai 2011 lagi bagi membiasakan diri dengan operasi-operasi FGV.

Beliau juga disokong oleh pasukan pengurusan daripada golongan profesional yang mantap serta berpengalaman dalam bidang masing-masing," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain