suria

Bekas CEO Kumpulan Sime Darby Gagal Permohonan Untuk Dilepaskan Tanpa Dibebaskan

KUALA LUMPUR: Bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan Sime Darby, Datuk Seri Ahmad Zubair Murshid pada Khamis gagal dalam permohonannya untuk dilepaskan tanpa dibebaskan daripada dua pertuduhan pecah amanah.

Hakim Mahkamah Sesyen Murtazadi Amran menolak permohonan itu atas alasan pertuduhan yang dihadapi Ahmad Zubair adalah tidak cacat.

Ahmad Zubair memohon supaya dia dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan itu atas alasan ia tidak berasas dan cacat.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Mushaimi memberitahu pemberita, Hakim Murtazadi dalam keputusannya berkata mahkamah mendapati pertuduhan itu tidak cacat berdasarkan dokumen yang dilampirkan untuk menyokong pertuduhan itu.

"Sehubungan itu, hakim berkata mahkamah perlu mendengar keterangan daripada saksi untuk menentukan sama ada pertuduhan itu cacat atau tidak," katanya.

Mahkamah menetapkan 23 Ogos ini untuk sebutan semula kes itu.

Pada 17 Julai tahun lepas, Ahmad Zubair, 56, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pecah amanah dana Sime Darby Bhd membabitkan projek pembangunan tanah adat Sarawak yang menyebabkan kerugian melebihi RM100 juta.

Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dengan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Ahmad Zubair juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan alternatif iaitu memperdaya ahli lembaga pengarah Sime Darby Bhd membabitkan projek yang sama.

Bagi kesalahan itu, Ahmad Zubair didakwa mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Sime Darby Bhd, Tingkat 21, Wisma Sime Darby, Jalan Raja Laut, di sini, antara 17 November 2008 dan 4 Dissember 2009.

Pada 15 Mac lepas, Ahmad Zubair juga gagal dalam permohonannya untuk mengetepikan kedua-dua pertuduhan itu dan dua pertuduhan alternatif selepas Mahkamah Tinggi mendapati ia tiada merit.

Pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kevin Morais manakala Ahamad Zubair diwakili peguam Stanley Augustin, S. Devanandan dan Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain