suria

'Tiada Lagi Kaitan' Dengan Bekas Pembantu Peguam Bela Anwar - Peguam

KUALA LUMPUR: Pasukan undang-undang Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu dikaitkan dengan bekas pembantu undang-undangnya, M. Yuktesvaran, yang membuat laporan polis terhadap pemimpin pembangkang pada Rabu.

Peguam Anwar, Sankara Nair berkata mereka "tiada hubungan" dengan Yuktesvaran sejak beliau meninggalkan pembangkang.

"Dia pernah menjadi penyokong firma Pembangkang, dan kemudian bertukar haluan. Kita tidak mahu apa-apa kaitan dengannya," katanya kepada 'The Star Online'.

Terdahulu, pada Rabu, Yuktesvaran mendakwa terdapat rancangan untuk mengemukakan dokumen palsu kepada mahkamah bagi menangguhkan prosiding ke atas penglibatan Anwar dalam perhimpunan Bersih 3.0.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Muhammad Azlee Abdullah mengesahkan laporan polis itu, sambil menambah polis akan menyiasat dakwaan tersebut.

Anwar, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan CheguBard mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan terhadap mereka di Mahkamah Sesyen di sini pada Mei 2012 terhadap penglibatan mereka dalam perhimpunan tersebut.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4 (2) (c) Akta Perhimpunan Aman 2011 kerana mengambil bahagian dalam protes jalanan, dengan niat untuk melanggar amaran yang dikeluarkan oleh Majistret Zaki Asyraf Zubir terhadap orang ramai daripada berkumpul di Dataran Merdeka pada 28 April hingga Mei 1, melalui perintah mahkamah pada 26 April.

Artikel Lain