suria

Permohonan Injunksi Mustapa Terhadap Husam, Empat Lain Diputuskan 19 Ogos

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini akan memutuskan pada 19 Ogos permohonan injunksi oleh pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam saman sivil bagi menyekat Datuk Husam Musa, PAS dan tiga yang lain dari terus memfitnah beliau berhubung saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH).

Hakim Datuk Nor Bee Ariffin menetapkan tarikh itu dalam kamar selepas mendengar hujah injunksi inter-parte daripada peguam Jeffrey John yang mewakili Mustapa dan Azhana Mohd Khairuddin, bagi lima defendan.

Jeffrey memberitahu pemberita bahawa mahkamah meneruskan injunksi sementara yang dikeluarkan sebelum ini kepada Mustapa sehingga keputusan pada 19 Ogos.

Pada 22 April, Mustapa memfail saman malu terhadap Husam, ketika itu anggota Exco Negeri Kelantan; PAS; setiausaha agung parti itu dan pemegang permit Harakah Datuk Mustafa Ali; ketua editor http:/harakahdaily.net. Zulkifli Sulong; dan editornya Azmi Yusof.

Dalam kenyataan tuntutan, Mustapa menyebut bahawa Husam, pada 23 Mac tahun ini, pada satu ceramah politik di Tapak Expo Machang, Kelantan, telah mengeluarkan kenyataan memfitnah ke atasnya berhubung saham-saham FGVH.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu juga mendakwa bahawa kenyataan-kenyataan fitnah itu dikirim oleh empat defendan lagi di harakahdaily.net. pada hari berikutnya.

Mustapa, 63, mendakwa kenyataan itu memberi makna tersirat, yang antara lain, beliau seorang pemimpin dan ahli politik korup, tidak berwibawa dan seorang ahli politik yang menyalahguna kuasanya untuk faedah peribadi dan faedah pemimpin Umno lain. - BERNAMA

Artikel Lain