suria

Penjual Kayu Gaharu Dihukum Gantung Sampai Mati

ALOR SETAR: Seorang penjual kayu gaharu pada Rabu dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar selepas didapati bersalah membunuh seorang lelaki, tiga tahun lepas.

Rohaizal Mohd Rashid, 34, yang berdiri dalam kandang orang kena tuduh kelihatan tenang mendengar Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab membacakan keputusannya.

"Saya berpuas hati dengan pihak pendakwaan dapat membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh," kata Mohd Zaki.

Dalam keputusannya Mohd Zaki berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan tertuduh ada bersama mangsa dan kecederaan yang dialami mangsa adalah ketika dia bersama mangsa, saksi dan seorang lagi individu yang masih bebas semasa mereka berada dalam sebuah kereta ketika perjalanan ke Kuala Lumpur.

Beliau berkata dalam perjalanan itu, mangsa yang ketika itu berselisih faham dengan saksi, dipukul oleh tertuduh sehingga cedera.

Ketika saksi membuat keputusan untuk berpatah balik, mangsa didapati tidak bergerak lalu dibawa ke kawasan semak di hadapan Kelab Golf Kulim untuk dibakar, kata Mohd Zaki.

Katanya tertuduh yang bekerja dengan saksi dalam keterangan bersumpahnya menyatakan dia hanya menampar mangsa sebanyak dua kali selain menyatakan saksi turut mencederakan mangsa.

"Bagaimanapun sebelum keterangan bersumpah dibuat, perkara itu tidak ditimbulkan menyebabkan pembelaan OKT (orang kena tuduh) tidak dapat menimbulkan keraguan munasabah.

"Maka pihak pendakwa berjaya membuktikan pertuduhan melampaui keraguan munasabah. Tertuduh didapati bersalah dan akan digantung sehingga mati pada tarikh dan tempat yang akan ditetapkan kelak," kata Mohd Zaki.

Mengikut kertas pertuduhan, Rohaizal bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa membunuh Mohd Noor Khairulizam Yaacob, 26, (ketika kejadian) di kawasan semak berhadapan Kelab Golf Kulim pada jam antara 7 hingga 9 malam, 13 November 2010.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Ab Rashid. Tertuduh diwakili peguam T. Jayaraj. -BERNAMA

Artikel Lain