suria

PAS Nafi 'Serang' Peribadi Tengku Zaihan

BESUT: PAS menolak dakwaan Barisan Nasional(BN) bahawa parti itu mula bertindak keterlaluan ketika berkempen dengan menyerang peribadi calon lawan.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, jentera parti itu diarahkan supaya berkempen dengan cara berhemah khususnya bagi menghormati bulan Ramadan.

"Kami hormati bulan puasa. Bagaimanapun kritikan yang kami lakukan terhadap calon BN ialah di atas kapasitinya sebagai penjawat awam profesional.

"Strategi kempen kami masih terbatas dan hanya memfokuskan kepada isu tempatan dan kemampuan calon BN itu untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya pada sidang media di markas PAS di Kampung Baharu di sini, Rabu.

Mengulas lanjut Dzulkefly berkata, jentera parti itu diberi arahan supaya tidak menyerang calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

"Bukannya ada video atau isu skandal yang kita dedahkan. Kita tak pernah 'serang' keluarganya pun.

"Kita mahu persaingan sihat dan kita harap lawan kita pun lakukan perkara yang sama," katanya.

Pada Selasa, Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas tindakan PAS yang menggunakan strategi kempen dengan menyerang Tengku Zaihan yang didakwa bukan anak kelahiran tempatan.

Artikel Lain