suria

Masih Ada Harapan Penjawat Awam Dapat Bonus - Cuepacs

PUTRAJAYA: Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman berpendapat masih ada harapan untuk lebih 1.4 juta penjawat awam menerima bonus menjelang Aidilfitri.

Ini berikutan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu yang memaklumkan kerajaan akan mengkaji kemungkinan memberi bonus kepada penjawat awam menjelang Aidilfitri, kata Omar.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan mengkaji kemungkinan itu dan masih mempunyai masa untuk memutuskan perkara itu.

"Cuepacs mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sudi mempertimbangkan permohonan Cuepacs untuk 1.4 juta penjawat awam.

"Cuepacs yakin Perdana Menteri akan mempertimbangkan perkara ini. Saya rasa ada harapan," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa di Puspanitapuri di sini malam Rabu.

Cuepacs sebelum ini masih berharap kerajaan akan memberi bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam walaupun mereka akan menerima kenaikan gaji tahunan pada bulan ini.

Terdahulu hampir 1,000 tetamu hadir pada majlis berbuka puasa Ketua Setiausaha Negara.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, pegawai-pegawai tinggi kerajaan, wakil kedutaan asing dan tokoh-tokoh korporat.

Pada majlis itu Dr Ali yang juga Penasihat Puspanita dan isteri Puan Sri Rohani Abdullah turut menyampaikan sumbangan kepada empat rumah anak yatim masing-masing sebanyak RM10,000 dengan 100 anak yatim turut menerima sumbangan.

Dr Ali dan para tetamu kemudiannya menunaikan solat Isyak dan tarawih. - BERNAMA

Artikel Lain