suria

Mangsa Nafi Penculikannya Ada Kaitan Dengan Pasangan Blogger Seks

Ng Mun Tatt
Ng Mun Tatt
Ng Mun Tatt

KLANG: Seorang remaja menganggur yang dilaporkan diculik sebagai tindakan balas dendam terhadap paparan sensitif di Facebook oleh penulis blog seks kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee menafikan ia mempunyai kaitan dengan komen agama yang dibuat oleh mereka.

Sebaliknya, Ng Mun Tatt berkata dia diculik semata-mata atas sebab memeras wang daripada keluarganya.

Ng, yang mendakwa baru sahaja pulang ke Shah Alam dari Johor Bahru kira-kira dua bulan lalu, berkata orang yang menculiknya tidak menyebut walau satu perkataan tentang dia menghina agama, atau apa-apa mengenai paparan tersebut.

"Saya mempunyai akaun Facebook dan satu-satunya 'posting' yang saya buat adalah mengenai potongan rambut saya," kata Ng pada satu sidang akhbar di sini, Rabu, sambil menambah dia tidak begitu mahir dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu.

Laporan berita mengatakan Ng telah diculik dan mempunyai tulisan pada badannya, Isnin sebagai dendam selepas penulis blog kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee memuat naik gambar di laman Facebook mereka sedang makan bak kut teh (hidangan daging babi) dan pada masa yang sama meletakkan ucapan Selamat Berbuka Puasa.

Laporan itu juga berkata penculik telah melucutkan pakaian Ng dan membawanya ke kawasan hutan sebelum menyerangnya menggunakan tangan dan batang kayu.

Ng memberitahu pemberita dia tidak tahu siapa yang menculiknya, sambil menambah dia tidak tahu di mana dia dibawa semasa pengalaman pahit lima jam kerana matanya ditutup.

"Ia bukan tentang mana-mana 'posting' (Facebook). Mereka (penculik) hanya mahu wang dan sengaja menulis Saya Hina Agama Islam pada badan saya kerana mereka tidak mahu saya melarikan diri ketika saya dalam jagaan mereka, dengan mengatakan saya akan dipukul oleh mana-mana orang Islam jika saya merancang untuk lari," katanya.

Ng berkata, dia sedang makan dengan teman wanitanya sekitar pukul 4.30 pagi apabila lapan lelaki berjalan dari arah belakang dan menarik bahunya.

"Mereka memberitahu saya dan rakan-rakan saya supaya tidak bertindak dan membawa saya pergi," katanya, sambil menambah dia hanya dapat mengingati secara samar-samar apa yang berlaku seterusnya.

"Saya dalam keadaan khayal, ditutup mata, diserang dan tidak tahu di mana saya telah dibawa.

"Saya ingat mereka meminta nombor pin bank daripada abang ipar saya dan perkara seterusnya yang saya ingat apabila bangun dalam keadaan bogel di sebuah estet pada kira-kira pukul 10 pagi dengan kata-kata pada badan saya," kata Ng, yang lebam teruk.

Dia kemudian berlari keluar dari estet di mana penunggang motosikal di Lebuhraya Duke membawanya ke balai polis.

Abang ipar Ng, Mak Nui Weng, 28, yang turut hadir pada sidang akhbar itu, berkata penculik meminta wang sebanyak RM5,000.

"Mereka meminta saya memindahkan wang dengan serta merta. Saya berjaya mendeposit RM3,000 ke dalam akaun Ng pada kira-kira pukul 8 pagi. Tetapi berterima kasih kepada Tuhan, mereka tidak membunuhnya," kata Mak, sambil menambah wang yang dimasukkan telah dikeluarkan oleh penculik.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Zahedi Ayob berkata polis sedang menyiasat kes itu.

Satu sumber pula berkata keempat-empat suspek yang ditahan beberapa jam selepas kejadian itu telah ditahan reman selama seminggu.

Artikel Lain