suria

Lelaki Hadapi 51 Pertuduhan Tipu Berhubung Bayaran Permit Kerja Warga Asing

KUALA LUMPUR: Selepas anaknya didakwa lapan hari lepas, seorang ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat pengurusan permit hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini terhadap 51 pertuduhan menipu membabitkan RM207,000 berhubung bayaran permit kerja warga asing.

Amir Pasirin, 49, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

Dia didakwa memperdaya Pegawai Operasi Syarikat Bidai Semarak Sdn Bhd, Anwar Masa'od, 30, sehingga mendorong mangsa menyerahkan kesemua wang itu sebagai bayaran untuk membuat permit.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Paradise Linx Sdn Bhd, Jalan 2/50 off Jalan Gombak Diamond Square, Setapak, antara 5 Feb 2013 dan 15 Mei 2013 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Pada 8 Julai lepas, anaknya Mohd Nur Asyraf didakwa terhadap pertuduhan yang sama di mahkamah sama.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, ASP Zulkifli Osman menawarkan jaminan RM50,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Khairul Azwad Sariman, yang mewakili tertuduh memohon jaminan yang sama dengan anaknya iaitu RM20,000 ditetapkan terhadap Amir.

Hakim Mat Ghani membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Julai untuk sebutan semula dan pengurusan kes. - BERNAMA

Artikel Lain