suria

Bekas Pengarah Syarikat Didakwa Buat Pernyataan Palsu

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah syarikat yang menjalankan pemasaran rangkaian perniagaan pada Rabu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan membuat pernyataan palsu kepada pendaftar syarikat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), tahun lepas.

Lau Kooi Chuen, 54, pengarah syarikat Rezatash Sdn Bhd ketika itu, didakwa melakukan kesalahan berkenaan di dalam borang 49 bertarikh 7 Mac 2012 yang dikehendaki diserah simpan kepada pendaftar syarikat.

Pernyataan palsu itu berkaitan dengan pengeluaran Aw Eng Sun dan Nik Mahmood Nik Hassan sebagai pengarah dalam syarikat Rezatash serta pelantikan Goh Hock Hwa sebagai pengarah dalam syarikat itu.

Lau didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 17, Menara SSM, Jalan Stesen Sentral 5, di sini pada 7 Mac dan 13 Mac 2012.

Pertuduhan dibuat mengikut Akta Syarikat 1965 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda RM250,000 atau kedua-duanya.

Di mahkamah yang sama, seorang lagi bekas pengarah syarikat Rezatash, Goh Hock Hwa, 59, mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat dengan Lau bagi tujuan sama pada tempat dan masa yang sama.

Dakwaan terhadap Goh juga dibuat mengikut seksyen dan Akta serupa.

Pegawai Pendakwa Shari'ah Abu dari SSM menawarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin dikenakan bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun peguam William Foo, yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan itu dikurangkan dengan alasan anak guam kini tidak bekerja dan merupakan penanggung tunggal keluarga.

Hakim Rihaida Rafie membenarkan kedua-dua tertuduh, masing-masing diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin, dan menetapkan 22 Ogos untuk sebutan bagi serahan dokumen. -BERNAMA

Artikel Lain