suria

Ahmad Said Sahkan Wakil Rakyat BN Dapat Tanah

BESUT: Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengesahkan kerajaan negeri Terengganu menganugerahkan empat bidang tanah kepada empat wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Besut.

Ahmad berkata pemberian tanah tersebut adalah sebagai tanda penghargaan kepada pemimpin-pemimpin berkenaan di atas sumbangan mereka kepada rakyat.

"Dasar kita ialah semua rakyat Terengganu berhak mendapat satu lot tanah untuk tapak rumah atau pertanaian. Jadi mereka sebagai wakil rakyat juga ada hak.

"Mereka beri perkhidmatan kepada rakyat, sebagai tanda terima kasih kita bagi...mereka mohon, kita bagi. Ini semua sebab sumbangan mereka, adakah kerana mereka wakil rakyat tak boleh dapat?" katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco selama lebih lima jam di Pejabat Daerah Besut di sini, Rabu.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Ahli jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad yang mendakwa bahawa empat wakil rakyat BN masing-masing menerima satu hektar tanah di Kuala Besut.

Dzulkefly mendedahkan bahawa empat wakil rakyat itu ialah Datuk Abdullah Mohd Zin, Datuk Seri Idris Jusoh, Nawi Mohamad dan Mohamad Pehimi Yusof.

Menurut Dzulkefly, pada ketika itu Abdullah merupakan Ahli Parlimen Besut, Idris (Adun Jertih), Nawi (Hulu Besut) dan Mohamad Pehimi (Kota Putera).

Artikel Lain