suria

SKMM Akan Segera Selesaikan Siasatan Kes Pasangan Persenda Ramadan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan menyelesaikan siasatan ke atas penulis blog berunsur seks, Alvin Tan dan Vivian Lee secepat mungkin kerana melibatkan kepentingan awam.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Industri Pengawasan Zulkarnain Mohd Yassin, berkata kedua-dua individu tersebut telah merekodkan kenyataan mereka di pejabat SKMM berhubung posting yang memaparkan gambar mereka sedang makan bak kut teh (sup tulang babi) dengan kapsyen 'Selamat Berbuka Puasa'di laman Facebook mereka.

"Orang ramai tahu perkembangan mengenai isu ini. Sebagai agensi penguatkuasa, kita mahu segera menyiapkan siasatan kes ini secepat mungkin," katanya sambil menambah kertas siasatan akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

"Punca masalah dalam isu ini masih belum dikenalpasti. Kita berharap untuk menjalankan siasatan dalam tempoh yang singkat namun pihak kami tidak akan tergesa-gesa.

"Masih terlalu awal untuk membuat sebarang penilaian atau spekulasi. Biar pihak kami menyelesaikan siasatan dan kami akan maklumkan kepada anda hasilnya nanti," kata Zulkarnain.

SKMM berkata mereka membantu pihak polis dalam menjalankan siasatan di bawah Kanun Keseksaan.

Justeru, orang ramai dinasihatkan tidak mengemukakan komen, video dan gambar yang sensitif serta memuat naik bahan berkenaan di laman media sosial mereka.

"Jangan menghantar semula bahan yang sensitif ini. Sila lapirkan sesuatu yang anda lihat di media sosial kepada kami," kata Penasihat Komunikasi Strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Sheikh Raffie Abdul Rahman.

Alivin dan Vivian hadir ke pejabat SKMM di bangunan Sultan Abdul Samad pada Isnin untuk memberi keterangan mereka dalam isu berkenaan.

"Kami dimaklumkan pasangan berkenaan tiba untuk membantu siasatan pada pukul 10.46 pagi dan kedua-duanya hadir secara sukarela," kata Zulkarnain.

Pasangan berkenaan telah memadamkan posting sensitif tersebut dengan menggantikan dengan sekeping gambar baru yang memaparkan mereka sedang makan ketupat, rendangan dan karipap sebelum akaun Facebook mereka terus ditutup.

Mereka juga memuat naik sebuah video memohon maaf atas tindakan mereka itu yang disiarkan di laman Youtube petang ini susulan reaksi negatif pelbagai pihak yang mengecam tindakan mereka.

Dalam video berdurasi 1 minit 22 saat yang berbahasa Melayu beserta sari kata Bahasa Inggeris, Alvin berkata mereka tidak berniat menghina, mempersenda atau memperlekehkan Islam mahupun mencetuskan perbalahan kaum.

"Kami amat menyesali perbuatan kami yang tidak hormat kepada kepercayaan dan sensitiviti agama di Malaysia yang berbilang kaum ini," katanya di dalam videoitu.

Pasangan berkenaan boleh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Mengikut akta berkenaan, jika sabit kesalahan pasangan terbabit boleh didenda sehingga RM50,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Artikel Lain