suria

Peserta Felo Perdana 'Jurucakap Tidak Rasmi' Rapatkan Hubungan Kerajaan Dan Belia - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin bersama menteri-menteri kabinet serta peserta-peserta Felo Perdana pada majlis penyerahan peserta program felo perdana di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur pada Isnin. Foto RAJA FAISAL HISHAN / THE STAR

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata peserta atau 'mentee' Program Felo Perdana yang diperkenalkan kerajaan disifatkan sebagai 'jurucakap tidak rasmi' bagi kerajaan untuk merapatkan hubungan dengan golongan muda.

Beliau berkata, program itu melibatkan seramai 70 anak muda daripada lepasan graduan dan penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara dengan diberi peluang pengalaman dalam urusan tadbir negara.

"Diharapkan supaya orang muda yang menyertai Program Felo Perdana ini selain mendapat pengalaman, mereka juga diharapkan menjadi 'jurucakap tidak rasmi' kepada kerajaan supaya dapat membantu menghubungkan kerajaan dengan generasi muda.

"Apabila saya berbicara dengan sebahagian daripada orang muda, mereka beritahu pada saya bahawa mereka tak tahu apa yang kerajaan buat. Saya merasakan kita belum 'connected' (berhubung) dengan orang muda.

"Melalui program ini, saya harap program ini akan ada 'well-connected' (hubungan yang baik) dengan orang-orang muda," katanya pada Majlis Penyerahan Felo Perdana kepada Menteri-Menteri Kabinet di Dewan Bankuet Parlimen di sini, Isnin.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan menteri-menteri Kabinet.

Program Felo Perdana ini melibatkan pemilihan mentor di kalangan menteri-menteri Kabinet yang akan menggariskan rangka kerja dan tanggungjawab untuk felo atau mentee masing-masing.

Najib berkata, 'mentee-mentee' ini perlu menggunakan media sosial dan menyebarkan apa yang baik dilakukan oleh kerajaan.

"Juga apa tujuan sesuatu dasar kerajaan dan apa juga (memperjelaskan) yang tidak benar. Banyak karut-marut dalam media sosial dan ada juga sesetengah orang termakan dengan hasutan media sosial itu.

"Dan kita perlukan saudara-saudari sebagai orang muda untuk terangkan apa yang sebenarnya berlaku dalam kerajaan. Kita akan memupuk hubungan kerajaan dengan orang muda secara kukuh dan lebih berkesan," katanya.

Menurut Najib, beliau yakin bahawa program itu merupakan satu wahana dan kaedah yang amat sesuai kerana memberi peluang bermakna kepada orang muda untuk mendapat pengalaman kerja yang sebenar.

"Dan kalau kita hendak melihat masa depan negara kita sebagai negara yang berjaya, ada banyak faktor yang menyumbang kepada kejayaan itu. Dan satu perkara yang kita boleh lakukan adalah menyediakan generasi muda untuk masa depan negara kita.

"Ini merupakan satu pelaburan. Ini merupakan satu peluang untuk kita mengasah bakat di kalangan anak muda. Ini adalah peluang bagi anak muda memahami apa yang sebenarnya dasar, program kerajaan dan cabaran sebagai sebuah kerajaan," katanya.

Artikel Lain