suria

Pembangkang Mohon Deklarasi Keputusan Semua 222 Kerusi Parlimen Batal, Tidak Sah

KUALA LUMPUR: Tiga parti pembangkang dan lima individu pada Isnin memfailkan saman terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memohon deklarasi keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) Mei lepas yang diumumkan SPR bagi kesemua 222 kerusi Parlimen adalah batal dan tidak sah.

PAS, DAP dan PKR serta tiga calon PRU-13, Dzulkefly Ahmad, M. Manogaran dan Saifuddin Nasution Ismail, serta dua pengundi Arifin Abd Rahman dan R. Abbo selaku plaintif memfailkan saman itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini menerusi Tetuan Tommy Thomas.

Mereka menamakan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, timbalannya Datuk Wan Ahmad Wan Omar dan lima anggota SPR, Datuk Mohamad Ramji Ali, Datuk Dr P. Manogran, Datuk Christopher Wan Soo Kee, Datuk Md Yusop Mansor dan Abdul Aziz Khalidin sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutan itu, kesemua mereka mendakwa SPR gagal melaksanakan tanggungjawab mereka dan dengan niat jahat dan secara tidak jujur mengamalkan penipuan ke atas pengundi dengan penyalahgunaan dakwat kekal untuk mengundi pada PRU-13.

Mereka mendakwa SPR merancang dan mengamalkan penipuan ke atas pengundi dengan sengaja membenarkan dakwat kekal dilemahkan supaya ia senang dibersihkan agar pengundi yang tidak jujur dapat mengundi dua kali.

Plaintif antara lain memohon perintah mahkamah supaya pilihan raya umum baharu diadakan dengan adil dan bebas.

Mereka memohon perintah supaya kesemua defendan dipecat serta-merta daripada jawatan sebagai anggota SPR selain memohon ganti rugi teladan, ganti rugi am, faedah atau relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah. -BERNAMA

Artikel Lain