suria

Muhyiddin Kesal PAS Serang Peribadi Calon BN

BESUT: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Tan Sri Muhyiddin Yassin kesal dengan tindakan pembangkang yang menggunakan strategi kempen menyerang peribadi lawan dengan pelbagai tuduhan tidak berasas.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, BN bagaimanapun tidak akan terpengaruh dengan corak kempen berkenaan yang disifatkan hanya membuang masa terutama ketika umat Islam menyambut kedatangan Ramadan.

"Kita harap proses perjalanan pilihan raya dibuat secara berkredibiliti, berhemah dan tidak membazir masa dengan pelbagai serangan tidak berasas. Ini adalah strategi pembangkang untuk serang calon BN.

"Tapi saya percaya pengundi tidak terpengaruh dengan tipu helah pembangkang yang tidak berasas. Kita tak mahu orang percaya perkara yang tidak benar," katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Peroi di sini, Selasa.

Beliau mengulas mengenai serangan PAS terhadap calon BN bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman yang didakwa bukan anak kelahiran tempatan.

Sementara itu mengulas mengenai tindakan PAS yang mengarahkan calon mereka, Endut @ Azlan Yusof supaya membataskan kenyataan kepada media, Muhyiddin berkata perkara itu membuktikan bahawa parti itu gagal menawarkan calon yang boleh berkhidmat kepada rakyat setempat.

Menurutnya, kenyataan Azlan yang dimuat naik di laman YouTube yang menyatakan bahawa beliau akan melantik seorang wakil menguruskan tugasnya sebagai wakil rakyat membuktikan calon PAS itu lebih berminat dengan kerjayanya sebagai kontraktor.

"Nampaknya PAS takut calon mereka ditemuramah media lagi kerana beliau pernah tersalah cakap.

"Calon PAS lebih minat dengan soal perniagaan...kita tak halang orang berniaga tapi tanggungjawab utama ialah untuk menjaga rakyat dan pengundi," katanya.

Artikel Lain