suria

Media Cetak Siar Gambar Pasangan Persenda Ramadan Mestilah Dengan Sebab Yang Kukuh - KDN

Hashimah (kanan) ketika menjawab soalan daripada hadirin pada sesi taklimat Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri bersama kakitangan Star Publications (M) Bhd. IBRAHIM MOHTAR dan AHMAD SHAHRIN / THE STAR
Hashimah (kanan) ketika menjawab soalan daripada hadirin pada sesi taklimat Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri bersama kakitangan Star Publications (M) Bhd. IBRAHIM MOHTAR dan AHMAD SHAHRIN / THE STAR
Hashimah (kanan) ketika menjawab soalan daripada hadirin pada sesi taklimat Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri bersama kakitangan Star Publications (M) Bhd. IBRAHIM MOHTAR dan AHMAD SHAHRIN / THE STAR

PETALING JAYA: Bukan menjadi satu kesalahan bagi media cetak untuk menyiarkan gambar pasangan kontroversi, Alvin Tan dan Vivian Lee yang mempersendakan umat Islam dan bulan Ramadan dengan menunjukkan sup tulang babi dengan kapsyen 'Selamat Berbuka Puasa'.

Bagaimanapun, Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri, Hashimah Nik Jaafar berkata, penerbitan gambar tersebut perlulah bersesuaian dengan berita dan mesej yang hendak disampaikan kepada masyarakat mengenai sensitiviti kaum, bangsa dan agama.

“Adalah lebih baik kalau boleh (imej makanan) dikaburkan sedikit, kerana gambar itu disiarkan bersama dengan berita dari sudut yang lain untuk memberi maklumat bahawa apa yang dilakukan itu merupakan satu kesilapan.

“Maka adalah baik sekiranya gambar yang dipaparkan itu tidak begitu jelas,” katanya sambil menambah bahawa gambar kontroversi itu seharusnya diterbitkan dengan tujuan untuk memberi pengajaran dan bukannya menggalakkan atau mempengaruhi kepada kesan yang tidak baik.

Beliau berkata demikian kepada mStar Online yang ditemui selepas sesi taklimat Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri bersama kakitangan Star Publications (M) Bhd di Menara Star di sini, Selasa.

Pasangan Alvin dan Vivian kembali mencetuskan kontroversi apabila seolah-olah mempersenda kedatangan Ramadan dengan memuat naik gambar mereka sedang menikmati hidangan dengan kapsyen 'Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh (sup tulang babi)... wangi, enak dan menyelerakan' di laman sosial Facebook mereka.

Selain keterangan gambar yang berbaur provokatif, mereka turut meletakkan logo halal pada gambar berkenaan.

Menurut Hashimah, media cetak masih boleh menggunakan perkataan ‘daging babi’ sebagai keterangan dalam gambar tersebut tetapi perlu memperjelaskan bahawa ia adalah satu kesalahan.

“Jadi, biarlah gambar di bahagian makanan itu dikaburkan sedikit kerana dalam keterangan gambar sudah menerangkan bahawa ia adalah ‘pork’ (daging babi),” katanya.

Mengulas mengenai tindakan pasangan blogger seks itu kerana menyiarkan gambar yang mempersendakan Ramadan, Hashimah berkata, tindakan itu adalah sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan.

“Sebab kita bercakap sebagai negara 1Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama. Kita menghormati keharmonian.

“Jadi setiap orang di negara ini seharusnya mengamalkan sikap hormat-menghormati antara satu agama dengan satu agama yang lain.

“Perkara-perkara seperti ini tidak sepatutnya dilakukan kerana ia menyentuh sensitiviti masyarakat di negara ini,” katanya.

Artikel Lain