suria

Edar Dadah: Mahkamah Rayuan Kekalkan Hukuman Mati Ke Atas Tiga Orang

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap tiga 'keldai dadah' kerana mengedar lebih 500gm heroin yang mereka sembunyikan di dalam kapsul getah dan kemudian menelannya.

Panel tiga anggota diketuai Hakim Datuk Azahar Mohamed sebulat suara menolak rayuan Kwok Weng Fatt, 64, Abdul Rahman Lee Abdullah, 56, dan Nurul Jannah Seng Abdullah, 49, dan mengesahkan sabitan dan hukuman mati yang dikenakan terhadap mereka oleh Mahkamah Tinggi.

"Berdasarkan fakta dan keadaan semasa kes, kami berpendapat hakim perbicaraan telahpun membuat keputusan yang betul bahawa ketiga-tiga mereka tahu tentang dadah itu," katanya.

Azahar berkata inti pati cerita mereka dalam kenyataan beramaran dan dalam keterangan di mahkamah turut diberi pertimbangan oleh hakim perbicaraan.

"Tiada kekhilafan boleh dirayu yang dibuat oleh hakim perbicaraan dalam kes ini," kata Azahar yang bersidang dalam panel itu bersama-sama Hakim Datuk Rohana Yusuf dan Hakim Datuk Hamid Sultan Abu Backer.

Kwok dan Abdul Rahman didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di George Town, Pulau Pinang pada 26 Sept, 2011 masing-masing terhadap satu pertuduhan mengedar dadah manakala Nurul Jannah pula disabitkan dengan dua pertuduhan.

Kwok, yang bekerja sebagai tukang kebun, disabitkan dengan kesalahan mengedar 196.74gm heroin di wad C5 Hospital Pulau Pinang antara 9.15 pagi 30 Januari, 2005 dan 12.40 tengah hari 1 Februari, 2005.

Abdul Rahman, seorang buruh, disabitkan kesalahan mengedar 144.42gm heroin di tempat sama antara 5.40 pagi 31 Januari, 2005, dan 8.20 pagi 1 Februari, 2005.

Bagi pertuduhan pertama, Nurul Jannah, seorang surirumah, disabitkan kesalahan mengedar 35.99gm heroin yang ditemui di dalam beg sandang yang dibawanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas pada 5.15 petang 29 Jan, 2005.

Bagi pertuduhan kedua, dia didapati bersalah mengedar 170.01gm heroin di wad C5 Hospital Pulau Pinang antara 7.35 pagi 31 Januari, 2005 dan 3.35 pagi 2 Februari, 2005.

Berdasarkan fakta kes, ketiga-tiga mereka ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ketika menunggu untuk menaiki penerbangan ke Australia.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan memberitahu mahkamah Kwok mengeluarkan dari ususnya sejumlah 84 kapsul manakala Abdul Rahman dan Nurul Jannah masing-masing 68 serta 81 kapsul.

Ketiga-tiga mereka memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa mereka dijanjikan sejumlah wang bagi setiap kapsul yang ditelan itu. Kwok mendapat RM180 bagi setiap kapsul, Abdul Rahman RM160 dan Nurul Jannah pula RM150.

Hakim mahkamah tinggi menolak dakwaan mereka bahawa mereka tidak sedar kapsul itu mengandungi dadah.

Ketiga-tiganya turut berkata mereka menyangkakan kapsul itu mengandungi ubat. - BERNAMA

Artikel Lain