suria

Pengundi Bimbang Implikasi 'DUN Tergantung' 16:16

BESUT: Rata-rata pengundi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut mula memahami implikasi sekiranya berlaku situasi 'DUN Tergantung' dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

Walaupun pemahaman mereka bukan berdasarkan tafsiran Perlembagaan dan perundangan, namun ramai di kalangan pengundi melahirkan kebimbangan terutama mengenai nasib rakyat selepas pilihan raya kecil DUN Kuala Besut 24 Julai ini.

Bekas nelayan, Rosli Jusoh, 65, berkata beliau bimbang mengenai kedudukan politik di negeri ini sekiranya Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang masing-masing mempunya jumlah kerusi yang sama banyak dalam DUN.

"Apa akan jadi kalau PAS menang dan jumlah kerusi sama banyak? Siapa yang akan perintah negeri?

"Perkara yang paling dibimbangkan ialah bagaimana nasib rakyat nanti. Siapa yang akan teruskan pembangunan di sini?" katanya ketika ditemui di Pasar Tani Kuala Besut di sini, Isnin.

Selain itu Rosli berkata beliau lebih selesa sekiranya keputusan PRK DUN Besut tetap mengekalkan status quo seperti selepas Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.

"Lebih baik jika jumlah sama banyak seperti sebelum ini. Sekurang-kurangnya ada pihak (pembangkang) yang boleh semak apa yang dibuat oleh kerajaan (BN).

"Agihan (kedudukan jumlah kerusi DUN) macam ini lebih menguntungkan rakyat...nasib rakyat akan lebih terbela," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Kuala Besut menyaksikan saingan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dan Endut @ Azlan Yusof daripada PAS.

Pada pilihan raya kecil ini PAS menggunakan strategi kempen dengan mengetengahkan sasaran kerusi 16:16 iaitu bagi menyamakan jumlah kerusi BN dan pembangkang di DUN Terengganu.

DUN Terengganu mempunyai 32 kerusi dan menyaksikan BN menguasai 17 kerusi manakala pakatan pembangkang memiliki 15 kerusi (PAS 14, PKR satu).

Sementara itu seorang lagi pengundi Kuala Besut, Ariffin Endut, 56, turut melahirkan kebimbangan sekiranya terjadi situasi DUN tergantung.

Menurutnya sekiranya situasi itu terjadi, perkara yang membimbangkan ialah kemungkinan parti politik akan terus berpolitik dan mengabaikan kebajikan rakyat.

"Kalau jadi begitu (DUN tergantung), nampaknya wakil rakyat akan terus main politik. Sana sini akan sibuk cakap tentang politik...bila masa nak buat kerja untuk rakyat," katanya.

Artikel Lain