suria

Pasangan Persenda Ramadan Tiba Di SKMM Beri Keterangan

Alvin dan Vivian tiba di pejabat SKMM kira-kira 10.45 pagi Isnin. Foto IZZRAFIQ ALIAS/The Star
Alvin dan Vivian tiba di pejabat SKMM kira-kira 10.45 pagi Isnin. Foto IZZRAFIQ ALIAS/The Star
Alvin dan Vivian tiba di pejabat SKMM kira-kira 10.45 pagi Isnin. Foto IZZRAFIQ ALIAS/The Star

KUALA LUMPUR: Pasangan yang mempersendakan Ramadan, Alvin Tan dan Vivian Lee tiba di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Bangunan Sultan Abdul Samad pada pagi Isnin bagi memberi keterangan.

Mereka yang dikenali sebagai 'Alvivi' sepatutnya memberi keterangan di pejabat SKMM pada pukul 10 pagi tetapi tiba lebih lewat iaitu kira-kira pukul 10.45 pagi.

Pasangan itu tidak memberi sebarang komen kepada media apabila memasuki pejabat tersebut dan dibawa ke bilik siasatan oleh beberapa pegawai.

Pada Khamis, mereka memuat naik gambar sedang menikmati hidangan dengan kapsyen 'Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh (sup tulang babi)... wangi, enak dan menyelerakan' di laman Facebook mereka.

Tidak cukup dengan itu, mereka turut meletakkan logo halal pada gambar berkenaan.

Tindakan itu menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia kerana sikap mereka yang tidak peka terhadap sensitiviti masyarakat Islam dan diberi amaran oleh SKMM.

Mereka turut memadamkan posting tersebut selepas dikecam hebat dan memuat naik gambar terbaharu mereka sedang menikmati ketupat, rendang dan karipap.

Mereka juga membuat permohonan maaf menerusi video berdurasi 1:22 minit pada Ahad di laman sosial YouTube.

Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata pasangan itu akan disiasat oleh agensi penguatkuasaan berkaitan di bahawa undang-undang sedia ada mengenai posting tersebut.

Katanya, budi bicara untuk mendakwa pasangan terbabit terletak di tangan Jabatan Peguam Negara berdasarkan pertimbangan bukti.

Artikel Lain