suria

PAS Nafi Arah 'Che Long' Tutup Mulut

BESUT: Calon PAS, Endut @ Azlan Yusof tidak akan melayan pertanyaan media secara spontan melainkan melalui sidang media khas di markas parti itu bagi mengelakkan kenyataanya dimanipulasi.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pendekatan itu dibuat selepas Azlan diarahkan kepimpinan parti supaya membataskan kenyataannya kepada media.

"Itulah sebabnya beliau agak keberatan untuk bercakap kepada media setiap masa," katanya pada sidang media di markas PAS di Kampung Baharu di sini, Isnin.

Bagaimanapun Dzulkefly menafikan laporan bahawa Azlan diarahkan kepimpinan PAS supaya 'menutup mulut' dan melayan soalan spontan daripada media.

"Tak betul kalau katakan beliau diarah tutup mulut kepada media tapi beliau hanya mahu fokus kepada aktiviti kempen.

"Kalau beliau ada sesuatu nak perkatakan kepada media, beliau akan datang ke markas ini," katanya.

Mengulas lanjut Dzulkefly berkata, langkah membataskan kenyataan Azlan kepada media dibuat bagi mengelakkan kenyataannya diambil dari konteks berbeza seperti yang berlaku sebelum ini.

Azlan sebelum ini menafikan pernah mengeluarkan kenyataan mahu melantik seorang pegawai yang bertanggungjawab menguruskan tugasnya sebagai wakil rakyat jika menang sedangkan beliau akan terus menguruskan perniagaannya di Kota Baru.

Sebaliknya kontraktor kayu itu menyalahkan laporan media kerana didakwa memanipulasi kenyataannya berhubung perkara berkenaan.

Kenyataan Azlan itu juga boleh ditonton menerusi laman YouTube.

Artikel Lain