suria

Keselamatan Di Ruang Transit KLIA Dipertingkat

Azmi Murad
Azmi Murad
Azmi Murad

PETALING JAYA: Keselamatan di ruang transit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dipertingkat untuk menangani masalah penumpang terkandas melebih tempoh ditetapkan.

Pengurus Besar Kanan (Operasi) Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Azmi Murad berkata beliau akan mengadakan satu mesyuarat melibatkan Jabatan Imigresen, syarikat penerbangan dan agensi berkaitan pada minggu ini untuk merangka pendekatan dan jalan penyelesaian bagi menangani masalah penumpang yang menjadikan ruang transit sebagai tempat tinggal mereka.

Menurut beliau, mereka memandang serius tindakan warga Palestin Ahmed Kanan, 22, yang terkandas selama 50 hari dan tujuh warga asing lain kerana khuatir kemudahan itu boleh disalahgunakan.

"Buat masa ini, tiada had masa untuk penumpang transit di ruang tersebut. Malah, mereka boleh tinggal di situ selama mana mereka mahukan. Ia sama dengan lapangan terbang lain di dunia.

"Ruang transit KLIA dibawah pengawasan kami dan selagi penumpang tidak melakukan sebarang jenayah atau melanggar keselamatan, mereka tidak akan diganggu.

"Kami tiada kuasa untuk menahan penumpang dan jika mereka mencetuskan masalah, kami akan meminta bantuan polis dan agensi penguatkuasaan yang berkaitan," katanya.

Beliau berkata, pasukan keselamatan MAHB kini mula melakukan pemeriksaan terhadap penumpang dan mereka yang tidur di terminal tersebut setiap malam.

Azmi berkata maklumat pelancong meragukan telah direkodkan dan dipantau untuk memastikan mereka meninggalkan ruang transit ke destinasi terakhir mereka dalam tempoh ditetapkan.

Katanya, mereka turut memeriksa semua kawasan terpencil di terminal tersebut dan adalah mustahil bagi sesiapa saja untuk bersembunyi.

"Kami mempunyai kira-kira 1,800 anggota keselamatan yang bekerja 24/7 dan mempunyai CCTV untuk memantau keseluruhan terminal.

"Terdapat kes penumpang berada di ruang transit selama tujuh hari kerana penerbangan ke detinasi yang ditujui mereka hanya seminggu sekali," katanya.

Azmi berkata polis tidak mengawasi zon transit dan mereka boleh diminta untuk berbuat demikian sekiranya kes jenayah berlaku.

Artikel Lain