Bekas Eksekutif Akaun Hadapi 23 Tuduhan Gubah Wang Haram - Semasa | mStar

Bekas Eksekutif Akaun Hadapi 23 Tuduhan Gubah Wang Haram

SHAH ALAM: Seorang bekas eksekutif akaun sebuah syarikat pembungkusan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Isnin terhadap 23 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, lima tahun lepas. V Mohan, 39, dari Klang dekat sini, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.

Tertuduh didakwa atas 23 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima wang berjumlah RM350,000 daripada bekas majikannya, Clearpack (M) Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun syarikat Cryovac Resources yang mana tertuduh adalah pemilik tunggal.

Daripada jumlah itu tertuduh juga didakwa mengeluarkan RM279,499.10 daripada akaun Cryovac dan memindahkan RM238,000 ke akaun dua buah syarikat iaitu Ramadai Trading dan Optimum Zone.

Mohan didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di dua buah bank iaitu AmBank (M) Bhd Cawangan Seksyen 15 di sini dan Alliance Bank Malaysia Bhd cawangan Bandar Bukit Tinggi, Klang, antara 25 Jan 2008 dan 2 Dis 2008. Pertuduhan mengikut Subseksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram & Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Roslina Idris mencadangkan agar tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM200,000 serta seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.

Peguam V.Kumaresan yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan yang dicadangkan atas alasan anak guamnya kini tidak bekerja tetap dan perlu menanggung isteri, seorang anak dan ibu bapa.

Beliau berkata anak guamnya juga perlu membayar pinjaman perumahan sebanyak RM3,000 sebulan dan kereta sebanyak RM1,400 sebulan.

Aslam kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM150,000 serta seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 20 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Tertuduh membayar wang jaminan. -BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Artikel Lain