suria

APMM Wilayah Selatan Selamatkan 22 Kru Kapal Tangki Terbakar

JOHOR BAHARU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan dan Pasukan Polis Marin Wilayah Dua menyelamatkan 22 kru selepas kapal tangki mereka, MT Samudera, terbakar di kedudukan 2.6 batu nautika selatan Pulau Kukup dekat Pontian di sini Ahad.

Jurucakap APMM Wilayah Selatan berkata kebakaran dipercayai berlaku pada kira-kira 4.40 petang ketika kapal terbabit dalam perjalanan dari Batam, Indonesia ke Chettagon, India.

"Ketika dalam pelayaran, bilik jentera kapal itu mengalami kebakaran besar yang tidak dapat dikawal," katanya ketika dihubungi malam Ahad.

Beliau berkata APMM dimaklumkan terdapat 23 kru warga India di dalam kapal terbabit sebelum menyelamatkan 22 daripada mereka pada 7.45 malam.

Seorang lagi kru dipercayai masih berada di dalam kapal berkenaan dan keadaannya tidak dapat dipastikan.

Kesemua 22 kru terbabit dihantar ke Hospital Pontian untuk rawatan, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain