KUALA LUMPUR: Pihak kerajaan dan Pengerusi Bersih 2.0 Datuk S. Ambiga serta 14 individu yang terlibat dalam perhimpunan Bersih 3.0, bersedia menimbang penyelesaian kes saman di luar mahkamah.Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O'Hara mendengar permohonan kedua-dua pihak di dalam kamar pada Isnin. Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad, yang mewakili kerajaan, memberitahu pemberita bahawa peguam-peguam yang terlibat dalam kes itu bersetuju untuk menangguh kes perbicaraan yang ditetapkan hari ini bagi merujuk terma-terma persetujuan kepada anak guam masing-masing.Katanya Hakim O'Hara menetapkan 20 September untuk pengurusan kes dan semua pihak terlibat perlu memaklumkan perkembangan penyelesaian itu.Ambiga yang ditemui di luar mahkamah turut menyatakan perkara sama.Kerajaan memfailkan saman pada 15 Mei tahun lepas terhadap sembilan defendan iaitu Ambiga, Maria Chin Abdullah, Zaid Kamarudin, K. Arumugam, S. Arul Prakkash, Wong Chin Huat, Dr Ahmad Farouk Musa, Toh Kin Woon dan Andrew Khoo.Pada 18 September 2012, O'Hara membenarkan enam lagi anggota jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 untuk menjadi pencelah dalam saman itu.Kerajaan menuntut pampasan khas berjumlah RM122,000 sebagai kos untuk memperbaiki kerosakan kenderaan polis, kos-kos lain, faedah dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.Ia juga menuntut pengisytiharan bahawa defendan-defendan, sebagai penganjur perhimpunan Bersih 3.0, telah melanggar Seksyen 6 (2)(g) Akta Perhimpunan Aman 2012, dan mereka bertanggungjawab antara lain, memastikan perhimpunan itu tidak akan merosakkan harta benda awam.Dalam pernyataan tuntutan itu, kerajaan juga menyebut perhimpunan sekitar Dataran Merdeka menjadi tidak terkawal apabila para peserta merempuh halangan polis.Ia juga menyebut pada hari berkenaan, polis ditempatkan di sekitar kawasan bagi memastikan peserta perhimpunan tidak melanggar arahan yang dikeluarkan Mahkamah Majistret pada 26 April, yang melarang satu perhimpunan daripada diadakan di Dataran Merdeka dan bagi orang awam supaya tidak hadir atau mengambil bahagian dalam mana-mana perhimpunan antara 28 April dan 1 Mei tahun lepas. - BERNAMA