suria

Umat Islam Disaran Bersatu Tangani Kesucian Agama

TEMERLOH: Umat Islam di negara ini disaran agar bersatu tanpa membatas perbezaan politik bagi mempertahankan kesucian agama Islam daripada terus dipersendakan pihak-pihak tertentu.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ismail Mohamed Said berkata hanya dengan mengukuhkan perpaduan umat Islam yang merupakan golongan majoriti di negara ini, maka kesucian Islam tidak akan dipersoalkan mana-mana pihak.

"Kita lihat kini terdapat orang bukan Islam yang semakin berani mempersoalkan apa juga kepentingan berkaitan agama Islam berikutan kealpaan orang Islam sendiri untuk mempertahankan kesucian agama mereka. "Keberanian musuh Islam kini semakin ketara seperti isu kalimah Allah, isu akidah, mempersoalkan kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan Negara dan pelbagai lagi yang dibangkitkan secara terang-terangan," katanya.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Kuala Krau berkata demikian di majlis penyampaian sumbangan kewangan kepada masjid dan surau bagi Parlimen Kuala Krau yang membabitkan 46 buah masjid dan 71 surau yang keseluruhannya berjumlah RM90,000, di Masjid Baharu Kampung Gunung Senyum di sini, Ahad.

Ismail berharap dengan keberkatan Ramadan, ia akan membuka pintu hati umat Islam khususnya generasi muda untuk bersama-sama mempertahankan kesucian Islam.

"Umat Islam perlu berpakat, bersatu untuk mempertahankan Islam daripada perbuatan provokasi dan kata cacian musuh Islam," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain