suria

Pasangan Persenda Ramadan Dijangka Tampil Beri Keretangan Kepada SKMM Esok

Alvin Tan (kanan) dan kekasihnya Vivian Lee.
Alvin Tan (kanan) bersama kekasihnya, Vivian Lee.
Alvin Tan (kanan) bersama kekasihnya, Vivian Lee.

KUALA LUMPUR: Dua individu yang mempersenda Ramadan dijangka hadir ke pejabat penguatkuasaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) esok bagi memberi keterangan.

Pengerusi SKMM Datuk Mohamed Sharil Tarmizi dalam satu kenyataan mengesahkan Alvin Tan dan Vivian Lee telah dipanggil untuk dirakamkan kenyataan dan membantu siasatan. Kedua-dua mereka sebelum ini memuat naik gambar hidangan dan kapsyen yang menyentuh sensitiviti umat Islam di laman sosial Facebook.

Bagi kes berasingan di laman Facebook yang menyiarkan gambar babi panggang dengan cap logo Halal, Mohamed Sharil berkata pemilik akaun itu bukan rakyat Malaysia dan tidak bermastautin di negara ini.

"Kami telah melaporkan perkara ini kepada Facebook dan meminta mereka untuk menyekat laman berkenaan atau memadam akaun tersebut," katanya. Sehubungan itu, Mohamed Sharil menasihatkan orang ramai agar segera melaporkan kepada Facebook jika menjumpai mana-mana paparan yang menghina kesucian Islam.

Beliau juga menasihatkan pengguna laman sosial itu untuk tidak berkongsi paparan atau foto yang menyinggung perasaan.

"Sebagai rakyat Malaysia, marilah kita menghormati bulan Ramadan dan rakan-rakan kita yang beragama Islam. Kita perlu sentiasa bertanggungjawab ke atas semua tindakan kita di dalam talian serta lebih peka terhadap sensitiviti orang lain terutamanya mengenai isu-isu agama.

"Sila berhenti dan berfikir sejenak sebelum kita berkongsi apa-apa maklumat di dalam talian," katanya.

Dalam pada itu, Alvin dan Vivian telah memuat naik sebuah video memohon maaf atas tindakan mereka itu yang disiarkan di laman Youtube petang ini susulan reaksi negatif pelbagai pihak yang mengecam tindakan mereka.

Dalam video berdurasi 1 minit 22 saat yang berbahasa Melayu beserta sari kata Bahasa Inggeris, Alvin berkata mereka tidak berniat menghina, mempersenda atau memperlekehkan Islam mahupun mencetuskan perbalahan kaum.

"Kami amat menyesali perbuatan kami yang tidak hormat kepada kepercayaan dan sensitiviti agama di Malaysia yang berbilang kaum ini," katanya di dalam video itu.

- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain