suria

Kedah Bakal Dapat Cuti Pada Hari Thaipusam ?

ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah akan menunaikan janji yang dibuat dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang lalu untuk menjadikan perayaan Thaipusam sebagai cuti umum di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia, Pelancongan Mohd Rawi Abd Hamid berkata pada PRU-13 yang lalu, Barisan Nasional (BN) telah membuat manifesto berkenaan dan janji itu akan dikotakan tidak lama lagi.

"Kita akan bawa permohonan untuk dibincangkan bersama Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dalam mesyuarat exco kerajaan negeri Rabu ini bagi menjadikan Thaipusam sebagai cuti umum sama seperti cuti Deepavali.

"Saya harap hasil perbincangan mesyuarat nanti akan memberi berita gembira kepada semua penganut Hindu di Kedah kerana sudah sampai masanya Thaipusam dijadikan sebagai cuti umum kerana di Kedah terdapat hampir 20,000 penganut Hindu," katanya selepas melawat tapak bangunan Pertubuhan Sri Ramakarishna di Alor Semadon sini, Ahad.

Sementara itu, Bendahari MIC Kedah R. Muniandy berkata permohonan untuk menjadikan Thaipusam sebagai cuti umum di negeri ini telah lama dilakukan iaitu ketika Datuk Seri S. Samy Vellu menjadi Presiden MIC lagi tetapi tiada sebarang berita diterima.

"Pada tahun 2008, parti pembangkang telah membuat janji untuk membawa permohonan berkenaan perkara itu sekiranya mereka berjaya menawan Kedah tetapi selepas berjaya menawan Kedah, janji yang mereka tabur tidak dikotakan.

"Kami berterima kasih kepada BN kerana berani mengambil inisiatif untuk mengotakan janji berkenaan cuti Thaipusam yang ditunggu-tunggu penganut Hindu di Kedah," katanya.

Terdahulu, Rawi melawat tapak bangunan Pertubuhan Sri Ramakarishna yang ditubuhkan bagi mengadakan kelas motivasi, keagamaan, komputer dan muzik secara percuma kepada golongan remaja bagi mengelakkan mereka terlibat dengan perkara-perkara yang tidak bermoral.

Pertubuhan itu juga memohon peruntukan RM40,000 daripada kerajaan negeri bagi menyediakan kemudahan yang mencukupi bagi mengadakan kelas-kelas ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain