suria

'Che Long' Nafi Lantik Proksi Wakil Rakyat Jika Menang

BESUT: Calon PAS, Endut @ Azlan Yusof menafikan pernah mengeluarkan kenyataan mahu melantik seorang pegawai yang bertanggungjawab menguruskan kerja sebagai wakil rakyat jika menang sedangkan beliau akan terus menguruskan perniagaannya di Kota Baru.

Sebaliknya kontraktor kayu itu menyalahkan laporan media kerana didakwa memanipulasi kenyataannya berhubung perkara berkenaan.

"Tunggu menang dulu, lepas itu baru kita tengok macam mana.

"Maksud saya yang sebenar ialah apabila saya menang, saya akan lantik orang mewakili perniagaan saya. Saya akan menjadi wakil rakyat yang akan sentiasa turun dengan rakyat," katanya ketika ditemui sewaktu berkempen di sini, Ahad.

Sebelum ini media rasmi PAS, Harakah Daily melaporkan kenyataan Azlan yang dikenali dengan panggilan 'Che Long' bahawa beliau bercadang melantik seorang wakil yang akan menguruskan perkhidmatannya semasa ketiadaannya dalam 'kawasan'.

Kenyataan Azlan itu juga boleh ditonton menerusi laman YouTube.

Pada pilihan raya kecil DUN Kuala Besut, Azlan bakal berhadapan dengan calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman yang merupakan seorang jurutera awam.

Menjelaskan lanjut Azlan berkata, jika dipilih menjadi wakil rakyat Kuala Besut, beliau akan menyalurkan semua gajinya kepada tabung khas bagi membantu rakyat.

"Saya akan tubuhkan tabung khas untuk diberikan kepada rakyat. Saya memang nak bantu rakyat.

"Dakwaan itu memang dimanipulasikan. Maksud saya nak lantik orang itu ialah bagi menjaga pengurusan tabung berkenaan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain