suria

Polis Rampas Dadah Bernilai RM8.5 Juta

KUALA LUMPUR: Polis merampas 47.2 kg syabu dan 81 gram heroin dianggarkan bernilai RM8.5 juta dalam dua serbuan berikutan penahanan tiga lelaki tempatan daripada dua sindiket penyeludupan dadah antarabangsa.

Kesemua suspek berumur antara 36 dan 66 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan di tempat letak kereta sebuah bangunan di Damansara, Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata dalam serbuan pertama kira-kira 12.45 tengah hari JSJ NKLIA menahan dua suspek lelaki yang baharu tiba dengan pesawat penerbangan dari luar negara. "Hasil siasatan polis telah berjaya menemui sebuah beg pakaian yang dipercayai ditinggalkan oleh dua warga Myanmar di hadapan sebuah kedai di dalam bangunan KLIA sebelum diambil oleh dua suspek berkenaan.

"Dari pemeriksaan beg tersebut kita telah menjumpai 12 bungkusan plastik bertulis 'Guanyinwang Refined Chinese Tea' dan satu bungkus plastik tulisan Cina di dalamnya mengandungi satu paket plastik lutsinar berisi syabu dengan berat 12.7 kg," katanya.

Pada keesokannya, kira-kira 10.10 pagi di Pejabat 'Lost and Found' Malaysian Airline System, KLIA, polis menemui 34 paket plastik mengandungi dadah seberat 34.5 kg dalam dua buah beg, katanya.

Dalam kes kedua pula, polis mengesan aktiviti penyeludupan dadah jenis heroin ke Australia selepas menahan seorang lelaki tempatan berumur 40 tahun di Damansara, 1.45 tengah hari.

Ekoran penahanan itu, polis menyerbu serta memeriksa sebuah premis di Kinrara, Puchong pukul 8 malam dan menemui 81 gram heroin dalam sebuah pembersih vakum.

Noor Rashid turut berkata polis juga menemui 417 unit bahagian motor, 423 bahagian atas pam empar yang mempunyai kesan serbuk heroin serta beberapa guni dan plastik berisi silinder dan kepingan logam.

Beliau percaya sindiket tersebut menyembunyikan dadah ke dalam bahagian mesin pam empar sebelum ia diseludup ke Australia. Noor Rashid berkata polis turut bekerjasama dengan agensi penguatkuasa luar negara dalam memastikan aktiviti pengedaran dadah di dalam negara dapat ditumpaskan.

Kesemua suspek ditahan reman sehingga 17 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, Noor Rashid berkata jumlah aset melibatkan kegiatan dadah yang disita meningkat 91 peratus antara Januari hingga Jun tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Beliau berkata dalam tempoh itu nilai aset yang disita tahun ini adalah RM48.11 juta berbanding RM25.21 juta tahun lepas.

Secara keseluruhan, seramai 85,805 orang ditangkap daripada 79,392 kes kegiatan dadah di seluruh negara. - BERNAMA

Artikel Lain