suria

Tidak Ada Keperluan Adakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berpandangan tidak ada keperluan untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan.

Menterinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata cara yang terbaik untuk memastikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dipilih dapat melaksakan tugas mereka dengan telus dan bertanggungjawab adalah dengan membuqt penilaian di peringkat negeri dan PBT kawasan masing-masing.

"Kementerian berpandangan adalah lebih baik tumpuan diberikan kepada usaha memantapkan pentadbiran PBT. Setiap tahun kementerian saya memperuntukkan RM1 bilion kepada PBT.

"Ini kerana PBT tidak berkemampuan menjana pendapatan yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan sendiri. PBT masih mengharapkan peruntukan tambahan daripada kerajaan Persekutuan dan negeri.

"Justeru, adalah tidak sesuai untuk kita mengadakan satu lagi pilihan raya untuk memilih Ahli Majlis PBT dan saya berpendapat itu tidak menjadi keutamaan kepada pihak kerajaan buat masa ini," katanya pada sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Khamis.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud berkata bagaimana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hendak mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan sedangkan pakatan pembangkang melemparkan pelbagai tuduhan termasuk dakwaan badan itu melakukan penipuan dalam pilihan raya umum ke-13.

"Secara prinsipnya bagaimana kita hendak minta SPR adakan pilihan raya PBT jika SPR ini tidak dipercayai oleh pakatan pembangkang, inilah masalahnya.

"Tapi pada masa yang sama mereka mahu SPR adakan pilihan raya kerajaan tempatan ini adalah satu hipokrasi yang cukup besar," katanya.

Beliau berkata apa yang dilihat pada ketika ini adalah keinginan parti DAP yang mahukan pilihan raya kerajaan tempatan berbanding sekutu mereka PAS dan PKR.

"Kenapa perkara ini tidak dimasukkan dalam manifesto? Kalau kita hendak bt juga pilihan raya kerajaan tempatan kita perlu daftar pemilih begitu persempadanan kwsn pilihan raya, ini juga ditentukan oleh SPR.

"Sedangkan pada masa yang sama mereka tidak percaya kepada SPR tidak akan berubah dari segi kepimpinan kerana mereka adalah sebuah badan bebas," katanya.

Jun lalu, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian & Penyelidikan Selangor, Datuk Teng Chang Khim yang dilaporkan berkata pilihan raya tempatan pertama negeri itu akan dilaksanakan sebelum penghujung tahun depan dengan Rang Undang-Udang berkenaan sudah pun dirangka dan akan dibentangkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor pada sesi kali ini.

Pada 2010, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menulis surat rasmi kepada SPR meminta suruhanjaya berkenaan mengadakan pilihan raya memilih anggota majlis tempatan bagi kedua-dua negeri itu.

Bagaimanapun permintaan tersebut tidak dapat dipenuhi kerana tidak wujud peruntukan di dalam Perlembagaan yang membenarkan pilihan raya di peringkat itu diadakan.

Artikel Lain