suria

Semua Pihak Perlu Utamakan Keamanan, Kelancaran PRK Kuala Besut - Ahmad Zahid

PUTRAJAYA: Semua pihak perlu mengutamakan keamanan bagi memastikan kempen pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut berjalan lancar tanpa sebarang insiden buruk, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, bagi memastikan PRK pertama selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) itu berjalan lancar, seramai 3,000 anggota keselamatan ditugaskan di kawasan berkenaan.

"Kami menjangkakan ramai penyokong dan jentera kedua-dua parti berada di situ sepanjang kempen yang akan berakhir pada tengah malam 23 Julai nanti. Saya berharap ia berjalan dengan sebaiknya," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa Kementerian Dalam Negeri di sini, Jumaat.

Ahmad Zahid berkata, kementerian itu belum menerima laporan berkaitan sebarang keganasan dalam proses penamaan calon pada Jumaat, yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman dan calon PAS Endot @ Azlan Yusof.

Hadir bersama Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin.

Dalam pada itu, Mohd Bakri berkata kes kematian lelaki berusia 53 tahun ketika dalam tahanan polis pada 4 Julai lepas dipercayai akibat serangan jantung.

Beliau berkata, ketika itu suspek dalam keadaan lemah akibat bergelut dengan pihak polis untuk melepaskan diri.

Suspek kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur sebelum disahkan meninggal dunia.

"Itu bukan kesalahan pihak polis, suspek ketika itu meronta-ronta jadi kita mengambil standard prosedur yang perlu untuk buat tangkapan berkenaan.

"Kita buat tangkapan, dia lari, jadi boleh dianggap dia melakukan satu kesalahan, tapi tindakan yang diambil betul dan sesuai dalam keadaan itu," katanya.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad sebelum ini berkata, hasil bedah siasat mendapati tiada kesan kecederaan dalaman mahupun luaran, dan jantung serta organ dalaman si mati dalam keadaan baik. - BERNAMA

Artikel Lain