suria

Pemimpin BN Yakin Tengku Zaihan Calon Sesuai

KUALA BESUT: Barisan pemimpin Barisan Nasional (BN) yakin Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman adalah calon yang berwibawa untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada pilihan raya kecil (PRK) 24 Julai ini.

Mereka menyifatkan pemilihan Tengku Zaihan, 37, bertepatan dan bersesuaian dengan peribadinya yang aktif mendampingi masyarakat dan merangka program untuk memajukan rakyat sebelum ini.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata dengan peribadi Tengku Zaihan itu, pertandingan satu lawan satu pada PRK ini akan memberi kelebihan kepada BN dan parti itu dijangka akan terus menguasai Kuala Besut seperti sebelum ini. "Lagi senang BN menguasai Kuala Besut. Saya percaya kita akan menang dengan majoriti lebih besar," katanya yang juga Menteri Wilayah Persekutuan kepada Bernama pada .

Tengku Zaihan merupakan jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Putrajaya, yang sebelum itu pernah berkhidmat selama lima tahun di JPS Daerah Besut.

Anak kelahiran Kampung Nail, Kuala Besut itu mula mencurahkan bakti kepada masyarakat setempat setelah menyertai JPS 15 tahun lalu sebagai jurutera daerah.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula berkata selain mengenali kehendak penduduk di sini, Tengku Zaihan juga diihat mempunyai kualiti seorang wakil rakyat dalam membawa masalah rakyat.

"Saya penuh yakin bahawa tokoh muda ini merupakan satu lagi proses meremajakan kepimpinan negara dan negeri kita untuk memastikan tokoh-tokoh ini kita dapat tampilkan untuk memberi membela rakyat. "Saya percaya dengan (anak muda) bertenaga ini selain seorang yang berpengalaman dan berilmu, ini merupakan satu strategi dan langkah yang baik sekali untuk penentuan calon kita hari ini," katanya.

Shafie yang juga Naib Presiden Umno berkata berdasarkan gerak kerja awal dan penerimaan penduduk setempat, beliau yakin pengundi DUN Kuala Besut akan sekali lagi memberi peluang kepada calon BN untuk menjadi penghubung kepada rakyat dan juga kerajaan pusat.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata lebih ramai orang muda akan mengundi BN yang mengetengahkan calon muda, bersesuaian dalam memenuhi aspirasi golongan tersebut.

"BN sudah menang dengan majoriti lebih 2,000 undi dalam pilihan raya umum (PRU-13) baru-baru ini. Jadi agak mustahil untuk PAS mendapat undi seperti itu dalam tempoh terdekat," katanya.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said pula berkata sokongan pengundi BN akan berterusan dalam PRK ini seperti yang berlaku dalam PRU lepas.

"Ini calon berjiwa besar dan menepati kriteria yang diperlukan masyarakat dan pastinya pertandingan satu lawan satu ini beri kelebihan kepada beliau," katanya.

Sementara itu, Ketua Puteri Umno Terengganu, Nordiana Shafie menyifatkan pemilihan 'Anak Pantai' sebagai calon BN ini adalah bertepatan berdasarkan kelayakan pendidikan, berjawatan profesional dan mudah mesra dengan penduduk setempat.

SPR menetapkan 24 Julai sebagai tarikh mengundi dan PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr A Rahman Mokhtar pada 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru. Pada PRU-13 Mei lalu, Dr A Rahman BN menang dengan majoriti 2,434 mengalahkan calon PAS Napisah Ismail. -BERNAMA

Artikel Lain