suria

PAS Akui Tugas Berat Menanti Azlan di Kuala Besut

KUALA BESUT: Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa mengakui calon PAS Endot@Azlan Yusof menghadapi laluan sukar untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut yang dikuasai Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil 24 Julai ini.

Husam yang juga Pengarah Jawatankuasa PAS Induk Pilihan Raya Kecil Kuala Besut bagaimanapun menjangkakan pertandingan satu lawan satu antara Azlan dan Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman daripada BN itu akan berlangsung sengit memandangkan calon PAS lebih dikenali rakyat.

"Insya-Allah rakyat tempatan di sini akan memberi sokongan kepada PAS berdasarkan permintaan ramai dan maklum balas yang baik kita terima," katanya ketika ditemui pemberita pada proses penamaan calon di Kompleks Rakan Muda Kampung Raja di sini Jumaat.

Turut hadir Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Husam mendakwa Umno akan menggunakan bermacam cara termasuk politik wang lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ini serta menjelang Hari Raya Aidilfitri selain meragui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pilihan raya kecil Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr A Rahman Mokhtar daripada BN pada 26 Jun lepas akibat kanser paru-paru.

Kali terakhir calon PAS memenangi kawasan DUN Kuala Besut ialah pada 1999.

-BERNAMA

Artikel Lain