suria

Mayat Anggota PPS Dijumpai Terapung di Jambatan P. Pinang

GEORGE TOWN: Mayat seorang anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) ditemui terapung di dalam laut di Km 7.4 Jambatan Pulau Pinang, di sini malam Khamis.

Mayat Chiew Chin Lee, 41, ditemui pada pukul 10 malam oleh polis pasukan Gerakan Marin yang melancarkan gerakan mencari dan menyelamat selepas menerima laporan mengenai kehilangan lelaki itu.

Jurucakap Polis Marin Wilayah 1 Batu Uban Pulau Pinang berkata Chiew dari Balik Pulau dilapor hilang pada pukul 9 malam dipercayai terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang.

"Kereta Chiew dijumpai tidak jauh dari lokasi dia dilapor terjatuh," katanya ketika dihubungi di sini, Jumaat.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Komtar Teh Lai Heng berkata mendiang ialah anggota jawatankuasa PPS bahagian Komtar dan telah berkhidmat dalam pertubuhan itu lebih setahun.

"Kami terkejut dengan pemergiannya secara tiba-tiba kerana Chiew adalah seorang periang dan komited dengan tugasnya," katanya kepada pemberita. -BERNAMA

Artikel Lain