suria

KLIA2 Lapangan Terbang Hibrid Pertama Malaysia Dengan Pengasingan Penumpang

SUBANG: KLIA2 tidak lagi akan menjadi terminal kos rendah tetapi merupakan lapangan terbang hibrid pertama Malaysia dengan perkhidmatan kelas perniagaan ditingkatkan di samping pengasingan penumpang antarabangsa sepenuhnya, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi.

Perkhidmatan kelas perniagaan yang ditingkatkan di lapangan terbang yang sedang dalam pembinaan itu adalah atas permintaan Air Asia.

"KLIA2 mempunyai pengasingan terbina bagi penumpang antarabangsa yang tiba serta berlepas dan dari dua tingkat, bangunan itu telah menjadi tiga, yang menyumbang kepada peningkatan kos pembinaan kepada RM4 bilion. "Pengasingan itu juga untuk mengukuhkan keselamatan dan menangani isu penyeludupan manusia," kata Abdul Aziz.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan penerbangan komersial sulung pesawat ATR72-600 syarikat penerbangan komuniti Firefly ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor dari Subang pada Jumaat.

Sementara itu, pesawat ATR72-600 berkenaan adalah pesawat ke-13 Firefly dan tiba di Subang dari Toulouse, Perancis, awal minggu ini.

"Kami berbangga untuk akhirnya beroperasi dengan pesawat baharu ATR72-600. Turboprop bukan lagi satu perkara yang lalu, tetapi masa depan, untuk perjalanan udara jarak dekat.

"Ia akan membantu kami meningkatkan lagi pengalaman tetamu dan yang paling penting, keselamatan penumpang," kata Ignatius Ong, Ketua Pegawai Eksekutif Firefly.

"Pesawat baharu itu akan digunakan untuk menambah kekerapan kepada laluan sedia ada untuk meningkatkan kapasiti penumpang keseluruhan," katanya.

Pesawat ATR 72-600 berkenaan adalah yang pertama daripada 20 pesawat itu yang ditempah pada 2007 oleh anak syarikat Malaysian Airlines itu dari pengeluar di Perancis. -BERNAMA

Artikel Lain