suria

Idris Jusoh Bidas Husam Lagakan Umno Untuk Raih Undi

BESUT: Timbalan Pengarah Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Datuk Seri Idris Jusoh menempelak Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Husam Musa kerana cuba melaga-lagakan kepimpinan Umno demi meraih sokongan pengundi.

Menurut Idris, pemimpin PAS itu sudah kekeringan modal apabila terpaksa memainkan isu berkenaan selepas gagal mengetengahkan calon terbaik kepada rakyat di Kuala Besut.

"Saya tak ada masalah (dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said). Beliau (Husam) hanya nak laga-lagakan kita.

"Beliau tak ada modal...tengok calon mereka tak larat, parti pun tak larat, jadi beliau cuba cucuk kita," katanya pada sidang media di Pusat Media PRK DUN Kuala Besut di sini, Jumaat.

Idris berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Husam yang meminta penyokongnya supaya mengundi calon PAS bagi mengimbangi kuasa politik kem Menteri Besar.

Menurut Husam, kemenangan PAS di Kuala Besut secara tidak langsung merupakan kejayaan bagi pihak Idris yang juga bekas Menteri Besar Terengganu itu.

Selain itu Idris yang juga Menteri Pendidikan II mengesahkan laporan blog yang mengatakan calon PAS, Endut @ Azlan Yusof pernah menjadi ahli jawatankuasa Pemuda Umno Cawangan Gong Nering sebelum dipecat daripada parti itu.

Idris berkata, Azlan bagaimanapun dikenakan tindakan tataterib kerana mengingkari perlembagaan parti.

"Beliau dipecat daripada Umno kerana kita dapati beliau cenderung menyokong parti lain.

"Perkara ini sudah lama...cukuplah saya tak mahu cakap perkara tak baik tentang orang," katanya.

Beberapa blog sebelum ini mendedahkan keanggotaan Azlan yang lebih dikenali sebagai 'Che Long' dalam Umno sebelum menyertai PAS.

Artikel Lain