suria

Facebook, Pos Laju Modus Operandi Terkini, Seludup Haiwan Liar - Perhilitan

KUALA LUMPUR: Penggunaan laman sosial Facebook dan PosLaju merupakan modus operandi terkini yang digunakan sindiket untuk menyeludup pelbagai hidupan liar di negara ini.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Perhilitan Malaysia, Abdul Kadir Abu Hashim berkata trend menggunakan teknologi canggih ini bertujuan mengaburi pihak berkuasa sekali gus memudahkan urusan perniagaan haram itu.

Beliau berkata ia juga memberi kesempatan kepada penyeludup untuk mengembangkan rangkaian perniagaan serta melipat-gandakan keuntungan daripada kegiatan itu.

"Modus operandi sentiasa berubah. Kalau dahulu, penyeludup menggunakan lori, motosikal dan kereta untuk menjalankan kegiatan haram itu, tetapi sekarang mereka (penyeludup) menggunakan Facebook dan PosLaju sebagai platform untuk menempah bahagian hidupan liar," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di sini, baru-baru ini.

Abdul Kadir berkata setiap haiwan yang diseludup mempunyai keistimewaan tersendiri, seperti gading gajah digunakan sebagai perhiasan dan sisik tenggiling untuk menyembuh pelbagai jenis penyakit.

Menurut statistik Perhilitan, sebanyak 30 kes direkodkan bagi penyeludupan melibatkan Facebook dan 20 kes untuk PosLaju pada tahun ini sehingga Jun, katanya. "Antara haiwan liar yang sering mendapat perhatian melalui pembelian secara dalam talian ialah Kucing Batu, ular dan Burung Murai Batu. Urusan dalam talian ini membuka ruang luas sebab ia sukar dikesan," jelas beliau.

Mengenai kaedah menggunakan PosLaju, Abdul Kadir berkata penyeludup cuba mengelirukan pihak berkuasa dengan menghantar bungkusan itu dari negara A ke negara B, sebelum bungkusan itu transit di Malaysia.

"Apabila bungkusan itu dimasukkan dalam proses imbasan, barulah kegiatan menyeludup bahagian haiwan eksotik seperti gading gajah itu dapat dikesan," katanya.

Justeru, Abdul Kadir menegaskan jenayah berkaitan penyeludupan haiwan liar hanya dapat dibanteras dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Kastam, Unit Pencegah Penyeludupan dan Polis Diraja Malaysia. -BERNAMA

Artikel Lain