suria

Dua Lelaki Ditahan Seludup 1,554 Karton Rokok

KUANTAN: Polis Marin Wilayah Timur menahan dua lelaki serta merampas 1,554 karton rokok seludup bernilai lebih RM260,000 dalam dua serbuan di Jalan Galing di sini, Khamis.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Timur ACP Azmi Ibrahim berkata tangkapan pertama dibuat hasil intipan pada 7 malam, setelah menahan sebuah kereta Proton Persona yang dipandu seorang lelaki berusia 20 tahun. "Hasil pemeriksaan mendapati kereta berkenaan membawa 80 karton rokok pelbagai jenama tidak sah.

'Selepas disoal siasat, suspek mengaku rokok tersebut diambil dari sebuah rumah sewa di Jalan Galing," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau berkata, suspek kemudian membawa polis ke rumah sewa tersebut sebelum menahan seorang lagi lelaki berusia 19 tahun yang menyewa rumah berkenaan. Hasil pemeriksaan di dalam rumah itu, polis menemui 1,474 karton pelbagai jenama rokok tidak sah, katanya.

Kedua-dua suspek kini disiasat mengikut Akta Kastam 1967. -BERNAMA

Artikel Lain