suria

Bina Jambatan Silaturahim, Tolak Serangan Peribadi - Tengku Zaihan

Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman
Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman
Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman

KUALA BESUT: "Bina jambatan silatulrahim dan tolak serangan peribadi".

Itu adalah antara pendekatan calon Barisan Nasional (BN) Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37, pada kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut.

"Kita tidak mahu dan tidak akan menyerang orang lain," kata Tengku Zaihan yang menyifatkan serangan peribadi terhadap pihak lawan tidak perlu dan hanya membuang masa.

Beliau berkata sebaliknya perkara yang lebih penting ialah turun padang dan mendampingi masyarakat terutama melalui program-program berbuka puasa, solat tarawih dan program kemasyarakatan lain.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menziarahi bekas senator dan bekas Ketua Wanita Umno Terengganu Wan Ramlah Wan Ahmad, 67, yang sakit tua di rumahnya di Kampung Paya Rawa di sini, Jumaat.

Mengenai fokus jentera BN pada pilihan raya kecil itu, Tengku Zaihan berkata BN akan memberi tumpuan kepada isu kemiskinan, nelayan, petani dan pelbagai isu tempatan lain.

Selain itu, berdampingan dengan pengundi muda juga perlu kerana suara dan aspirasi mereka penting dalam mencorak kemajuan di kawasan sekitar yang menuntut kerjasama dan perancangan semua pihak, katanya.

"Saya rasa peluang saya untuk menang memang ada dan sangat tinggi. Jentera dan saya sendiri akan terus bekerja habis-habisan untuk memenangi hati pengundi dan masyarakat di sini," katanya.

Pada pilihan raya kecil 24 Julai ini, Tengku Zaihan akan menentang calon PAS Endot@Azlan Yusof, 48, dalam pertandingan satu lawan satu.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr A Rahman Mokhtar pada 26 Jun lepas akibat kanser paru-paru. Pada pilihan raya Umum 5 Mei lepas Dr A Rahman daripada BN menang dengan majoriti 2,434 mengalahkan calon PAS Napisah Ismail.

-BERNAMA

Artikel Lain