suria

PRK Kuala Besut: PAS Harap Sejarah Berulang

BESUT: PAS mengimpikan untuk mengulangi sejarah lalu dengan meletakkan harapan agar parti itu berjaya memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu yakin untuk merampas kembali kerusi berkenaan daripada Barisan Nasional (BN) berdasarkan rekod mereka yang pernah memenangi DUN Kuala Besut sebanyak tiga kali dengan yang terakhir pada 1999.

"Saya yakin pengundi di Kuala Besut akan buat keputusan yang betul dalam memilih calon yang akan mewakili mereka nanti.

"Kerusi ini penting dalam menentukan peluang PAS untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri," katanya dalam ceramah pada Selasa malam.

Menerusi ceramah itu, Abdul Hadi mengumumkan Bendahari PAS Besut, Endut @ Azlan Yusof yang juga seorang ahli perniagaan sebagai calon untuk menentang wakil BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman pada pilihan raya kecil yang akan diadakan pada 24 Julai ini.

Sementara itu Azlan, 47, ketika ditemui berkata, beliau optimis untuk mencipta kemenangan untuk PAS.

"Biasalah...apabila kita berlawan, kita kena yakin dulu akan menang. InsyaAllah tuhan akan beri kemenangan...insyaAllah," katanya yang menjalankan perniagaan di Kota Baru, Kelantan.

Artikel Lain