suria

Polis Tahan Empat Rakan Suspek Perompak Ditembak Mati Di Cheras

KAJANG: Tiga lelaki dan seorang remaja perempuan yang dipercayai bersubahat dengan seorang perompak yang ditembak mati oleh seorang Tan Sri di Cheras malam Jumaat telah ditahan polis.

Ketiga-tiga lelaki tersebut berusia di antara 22 dan 30 tahun dan remaja perempuan berusia 17 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di rumah flat mereka di Bandar Mahkota Cheras kira-kira pukul 1.30 pagi Khamis.

Dalam serbuan itu, polis merampas dua parang dan sebilah pisau, topeng dan peralatan untuk memecah masuk rumah, telefon bimbit, sebuah komputer riba dan tablet, VCD dan sekotak rokok dari rumah tersebut.

Polis turut menemui wang tunai RM5,000 dan barang-barang berharga di samping sebuah kereta Proton Iswara, Perodua MyVi dan Honda City curi.

Pada Jumaat lalu, Pengerusi Dewan Perniagaan Cina Pahang, Tan Sri Lam Kam Sang menembak mati seorang lelaki berusia 21 tahun yang cuba menyerangnya dengan sebilah parang kira-kira pukul 10 malam di sebuah poliklinik di Taman Pertama, Cheras.

Lam, 68, melakukan pemeriksaan kesihatan ketika insiden itu berlaku ditemani isterinya.

Beliau hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian perut akibat serangan itu.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata, siasatan awal mendapati suspek turut terlibat dengan 10 kes rompakan di Kajang dan tiga di Seremban tahun ini.

Dalam beberapa kes, mangsa ditetak oleh perompak semasa mereka cuba melarikan diri.

"Mereka akan menyerang beberapa tempat seperti restoran dan kedai runcit.

"Dalam kes melibatkan klinik, suspek wanita tersebut berpura-pura menjadi pesakit," kata Thaiveegan.

Beliau berkata kesemua suspek akan ditahan reman sehingga 15 Julai.

Artikel Lain