suria

Lebih 200,00 Rakyat Tempatan Ditempatkan Di Pasaran Pekerjaan Pada 2012

KUALA LUMPUR: Seramai 218,588 rakyat tempatan berjaya ditempatkan di pasaran pekerjaan tahun lalu melalui Program Penempatan Pekerjaan (3P), kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ismail Abdul Muttalib.

Sehingga Jun tahun ini pula, 73,769 pekerja ditempatkan di pelbagai sektor melalui program sama.

"Ini merupakan antara langkah yang dilakukan kerajaan untuk meningkatkan bilangan pekerja tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing," katanya menjawab soalan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) dalam sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.

Dr Tan bertanya mengenai bilangan pendatang asing dan pendatang tanpa izin serta bilangan pekerja warganegara dan dasar kementerian mengenai pendatang.

Memetik data Jabatan Perangkaan Malaysia, Ismail berkata, setakat ini penduduk warga Malaysia yang bekerja di sektor swasta ialah 6.5 juta orang.

"Menurut statistik Jabatan Imigresen, sehingga Mac lalu terdapat 1.5 juta pendatang asing yang memegang pas lawatan kerja sementara," kata timbalan menteri itu.

Memetik statistik Kementerian Dalam Negeri (KDN), beliau berkata, sehingga Ogos tahun lalu, 1.3 juta pekerja pendatang tanpa izin berada di negara ini.

Mengenai usaha kerajaan dalam mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing terutama di pasaran kerja kategori 3D (dirty, dangerous and demeaning), Ismail berkata kerajaan telah membekukan pengambilan pekerja asing bagi sektor-sektor yang mempunyai pekerja tempatan mencukupi.

"Selain itu, kita (kerajaan) memastikan pengambilan pekerja asing mengikut prosedur ditetapkan iaitu memastikan tawaran pekerjaan dibuat terlebih dulu kepada pekerja tempatan sebelum merujuk kepada KDN untuk pengambilan pekerja asing jika diperlukan," jelasnya.

Ismail berkata, penetapan gaji minimum yang dikenakan terhadap pekerja asing dijangka membantu menggalakkan majikan mengutamakan pekerja tempatan.

Tambahnya, kaedah automasi iaitu penggunaan lebih banyak mesin dan kaedah terkini dalam sektor perladangan, pelaksanaan pembinaan bangunan menggunakan sistem IBS (Industrial Building System) dan konsep layan diri di sektor perkhidmatan juga sedikit sebanyak membantu negara mengurangkan bilangan pekerja asing. - BERNAMA

Artikel Lain