suria

Kerajaan Peroleh Semula RM79.9 Juta Daripada RM250 Juta Pinjaman Kepada NFCorp

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperoleh semula RM79.9 juta daripada RM250 juta pinjamannya kepada National Feedlot Corporation (NFCorp) bagi tujuan projek Pusat Fidlot Nasional (NFC), kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata ini susulan tindakan Kementerian Kewangan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA).

Katanya, kerajaan turut menyita harta NFC bernilai RM23.3 juta iaitu dua bidang tanah di Putrajaya, dua unit hartanah di Menerung Township Villa di sini dan tiga lot tanah di Gemas, Negeri Sembilan.

"Daripada RM250 juta, kira-kira RM80 juta kita telah terima, RM170 juta lagi yang masih belum lagi diterima," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini Khamis.

Kemelut NFC menjadi perhatian ramai sebelum ini selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010 menyatakan ia gagal memenuhi matlamat penubuhan, diikuti dakwaan pembangkang wujud penyelewengan pinjaman mudah kerajaan berjumlah RM250 juta kepada NFC.

Terdahulu, pada sidang media, Ahmad Husni berkata kementerian mengambil tiga tindakan untuk menyelesaikan kontroversi projek NFC.

Ia merangkumi membawa kes itu ke mahkamah, mengambil alih atau mengutip semula hutang dan aset, serta mencari syarikat baharu untuk meneruskan projek NFC.

Beliau berkata Kirimitonas Agro Sdn Bhd (KASB), syarikat usaha sama tempatan dengan syarikat pengeluar daging dari Jepun, telah menyatakan minat untuk mengambil alih projek NFC.

"Mereka akan tanggung liabiliti NFC. Bagaimanapun, kerajaan masih mengkaji keupayaan syarikat terutama dari segi kemampuan kewangan dan teknikal," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain