suria

Tiada Istilah 'Rehat' Untuk Ahli Politik Pada Ramadan Kali Ini

PETALING JAYA: Ramadan tahun ini akan menjadi satu bulan yang sangat sibuk untuk ahli-ahli politik.

Kadar aktiviti politik biasanya berkurangan semasa bulan puasa yang menjadi tempoh refleksi rohani bagi umat Islam di mana sikap buruk seperti bercakap tentang keburukan orang lain tidak dilakukan.

Walau bagaimanapun, kalendar yang padat dengan acara untuk bulan puasa tahun ini bermakna ahli politik di negara ini akan mempunyai rehat yang sedikit.

Selain Dewan Rakyat yang masih bersidang, Umno dan PAS perlu bersedia untuk menentang satu sama lain pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut 24 Julai ini.

Kedua-dua parti juga akan mengadakan pemilihan parti mereka pada akhir tahun ini, jadi masing-masing dijangka mengambil peluang untuk berkempen semasa bulan puasa.

Ketika Umno dan PAS bersedia untuk menghadapi persaingan di Kuala Besut, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula memberi amaran kepada calon-calon dan penyokong mereka untuk menjaga tingkah laku.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar telah berjanji untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang pilihan raya, khususnya di bawah Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Adalah satu kesalahan di bawah peruntukan bagi parti-parti politik dan calon-calon untuk memaparkan bahan kempen mungkin mempunyai unsur hasutan dan permusuhan, termasuk menimbulkan perkara-perkara tidak berkaitan dengan pilihan raya.

Suruhanjaya itu, kata Wan Ahmad, juga akan memberi perhatian khusus kepada kain rentang yang mengandungi kata-kata yang boleh membakar sensitiviti agama.

Beliau juga mengingatkan mereka supaya tidak meletakkan replika model objek seperti tangki atau seluar dalam usaha untuk mempermainkan atau membuat sindiran negatif ke atas isu-isu yang berkaitan dengan pihak lawan, yang katanya telah menjadi seperti satu 'trend' pilihan raya di Kelantan dan Terengganu.

"Jika tiada siapa yang menimbulkan provokasi, maka biasanya tiada tindak balas.

"Oleh itu, penting bagi kedua-dua pihak untuk mengekalkan kesopanan mereka selaras dengan peraturan-peraturan serta semangat Ramadan," kata Wan Ahmad.

Artikel Lain