suria

Rampasan Buku: Mahkamah Benar Penangguhan Prosiding Semakan Kehakiman

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini Rabu membenarkan permohonan ZI Publications Sdn Bhd dan pengarahnya untuk menangguhkan prosiding semakan kehakiman berhubung rampasan 180 naskhah buku terjemahan 'Allah, Kebebasan dan Cinta', karya Irshad Manji.

Hakim Datuk Zaleha Yusof membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan bagi penangguhan itu oleh ZI Publications dan Mohd Ezra Mohd Zaid, di dalam kamar.

Peguam yang mewakili mereka, Nizam Bashir memberitahu pemberita, mahkamah menetapkan 7 Oktober untuk pengurusan kes.

Nizam berkata mahkamah membenarkan penangguhan itu sementara menunggu keputusan petisyen yang difailkan anak guamnya itu di Mahkamah Persekutuan untuk memohon diisytiharkan bahawa Seksyen 16, Enakmen Jenayah Syariah 1995, sebagai tidak sah.

Pada 8 April, Mahkamah Persekutuan membenarkan syarikat penerbitan itu dan Mohd Ezra memfailkan petisyen.

Kedua-dua mereka pada 9 Julai tahun lepas memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar serbuan yang telah dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Mereka menamakan Jais, ketua pengarahnya, ketua bahagian penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor, ketua pendakwa Syarie Selangor, kerajaan Negeri Selangor dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Antara lain, mereka memohon perintah certiorari untuk membatalkan tindakan pegawai Jais yang melakukan serbuan dan merampas 180 naskhah buku itu pada 29 Mei tahun lepas di ZI Publications di B-2-19, Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan 1, PJU 3, Petaling Jaya, Selangor.

Mereka juga memohon supaya buku setebal 388 muka surat setiap naskhah yang dirampas itu dipulangkan.

Selain itu, mereka juga memohon perintah certiorari untuk membatalkan penahanan Mohd Ezra pada 29 Mei tahun dan pendakwaan ke atasnya oleh Jais. - BERNAMA

Artikel Lain