suria

Pasangan Kekasih Aktif Pecah Rumah Di Sekitar Nibong Tebal Ditahan

NIBONG TEBAL: Polis percaya dapat menyelesaikan 25 kes pecah rumah di sekitar Seberang Perai Selatan (SPS) selepas menahan sepasang kekasih ketika sedang berlegar-legar di sebuah kawasan di Sungai Bakap, di sini pada 25 Jun lepas.

Ketua Polis Daerah SPS, Supt Shafien Mamat berkata bertindak hasil maklumat awam dan risikan, polis mengekori sebelum menahan pasangan kekasih berumur 27 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan itu.

"Susulan penahanan mereka, polis menyerbu sebuah rumah di Taman Panchor Mutiara di sini dan merampas pelbagai barangan curi yang dipercayai hasil kegiatan pecah rumah," katanya pada sidang akhbar di sini, Rabu.

Katanya antara barangan yang ditemui itu ialah enam keping kad kredit milik individu lain, satu kad pengenalan, lima surat pajakan emas, satu set komputer riba, empat buah telefon bimbit pelbagai jenama dan lima buah kamera digital.

"Hasil maklumat, kita turut membuat pemeriksaan di sebuah kedai pajak gadai di Parit Buntar, Perak dan menemui semula seutas rantai tangan emas, dua utas rantai leher dan sepasang subang yang dicuri," katanya.

Shafien berkata siasatan lanjut polis kemudiannya menyerbu sebuah lagi rumah di Taman panchor dan menahan seorang lelaki berusia 32 tahun yang dipercayai menjadi pembeli barangan curi oleh pasangan kekasih terbabit.

Dalam serbuan kedua itu, polis menemui lima komputer riba pelbagai jenama.

Katanya lanjutan itu polis memeriksa sebuah lagi kedai pajak gadi di Pekan Bandar Baharu, Kedah dan merampas dua loket emas, empat bentuk cincin emas, masing-masing satu utas rantai tangan dan rantai leher dicuri.

Beliau berkata semua barangan yang berjaya dirampas dan ditemui semula itu bernilai RM50,000.

"Kita percaya pasangan kekasih itu aktif menjalankan kegiatan pecah rumah sejak Ogos tahun lepas dan dengan penahanan mereka, polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 25 kes pecah rumah," katanya.

Beliau berkata siasatan juga mendapati lelaki pasangan kekasih itu mempunyai 13 rekod jenayah berkaitan curi, pecah rumah dan dadah manakala lelaki kedua mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

"Semua mereka kini direman bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain