suria

Mesyuarat MSC Mengenai Jerebu Rabu Depan - Palanivel

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada mesyuarat ke-15 Jawatankuasa Pemandu Peringkat Menteri (MSC) mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan yang dijadualkan 17 Julai ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel berkata mesyuarat yang dijadualkan di ibu negara itu akan disertai beliau serta rakan sejawatan dari Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura dan Thailand.

Agenda utama mesyuarat ialah memperkukuhkan kerjasama serantau dalam menangani isu jerebu yang masih menjadi masalah rentas sempadan dan MSC akan meneliti apa yang telah dicapai dan apa yang perlu dilakukan, katanya dalam kenyataan di sini Rabu.

"Pada forum itu Malaysia akan terus menggesa Indonesia agar segera meratifikasi perjanjian Asean mengenai pencemaran jerebu rentas sempadan yang dikuat kuasa pada 2003," katanya.

Beliau berkata pada forum itu juga negara anggota MSC akan memberi penekanan kepada penyelesaian jangka panjang bagi mencegah berulangnya kejadian jerebu di dalam subrantau, seperti menerusi pengurusan tanah gambut berintegrasi terutama tanah gambut yang berisiko berlaku kebakaran.

Katanya sejak pembentukannya pada 2006, MSC berjaya memainkan peranannya sebagai forum dan mekanisme di bawah rangka kerja kerjasama rantau Asean dan telah mengadakan 14 mseyuarat.

"Antara kejayaan yang dicapai setakat ini ialah pelaksanaan Pelan Tindakan (POA) Indonesia dalam mengurangkan kawasan titik panas di daerah yang cenderung berlaku kebakaran di Sumatera dan Kalimantan, kerjasama dua hala dalam mencegah kebakaran hutan dan tanah (antara Malaysia dan Riau, serta antara Singapura dan Jambi), usaha yang dilakukan Thailand di subrantau Mekong selain kajian semula program dan aktiviti MSC sejak 2010 bagi mempertingkatkan mekanisme dalam menangani isu jerebu rentas sempadan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain