suria

MCA Sokong Langkah Bank Negara Kawal Hutang Isi Rumah

KUALA LUMPUR: MCA pada Rabu menyatakan sokongan terhadap garis panduan baharu yang diperkenalkan Bank Negara untuk mengekang peningkatan hutang isi rumah, yang sekaligus membantu menambah baik isu keselamatan awam dan sosial.

Presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata tidak dinafikan bahawa peningkatan jumlah mereka yang gagal menjelaskan hutang menyebabkan bilangan yang diisytihar bankrap melonjak dan kebanyakannya golongan muda.

"Orang muda menjadi bankrap kerana mereka berbelanja lebih daripada pendapatan mereka, mereka mengejar gaya hidup mewah dan akhirnya tidak boleh membayar ansuran kereta dan hutang kredit kad," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Bank Negara baru-baru ini memperkenalkan beberapa syarat baharu pinjaman, antaranya mengehadkan tempoh maksimum pinjaman peribadi kepada 10 tahun dan pembiayaan pembelian hartanah kediaman kepada 35 tahun dan melarang penawaran produk pembiayaan peribadi yang diluluskan terlebih dahulu.

Dr Chua berkata laporan Bank Negara menunjukkan hutang isi rumah terus meningkat secara purata dengan kadar 12 peratus setahun sejak lima tahun lepas dan ia meningkatkan 83 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Oleh itu terdapat keperluan untuk menangani isu itu memandangkan Malaysia masih sebuah negara membangun, katanya.

"Laporan Standard Chartered Bank juga menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai jumlah tertinggi hutang isi rumah di Asia dan kebanyakannya tidak dapat dijelaskan mengikut jadual, sama seperti situasi yang dialami Amerika Syarikat semasa krisis ekonomi 2008," katanya.

Sehubungan itu, Dr Chua berkata langkah yang diperkenalkan Bank Negara akan membantu menghentikan sikap berbelanja luar kawalan di kalangan orang awam dan pada masa sama meningkatkan kestabilan pendapatan isi rumah dan peribadi. - BERNAMA

Artikel Lain