suria

Laporan Mengenai Bersih 3.0 Diserahkan Kepada KDN

PUTRAJAYA: Panel Penasihat Bebas Mengenai Bersih 3.0 telah menyerahkan laporan akhir panel itu kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di pejabatnya di sini, Rabu.

Pengerusi Panel, Tun Hanif Omar berkata laporan setebal 500 halaman itu telah siap sejak April lepas namun tidak dapat diserahkan kerana memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-13(PRU-13).

Beliau berkata laporan tersebut mengenai perhimpunan 28 April tahun lepas itu berjaya disiapkan daripada hasil keterangan 45 saksi dan menyifatkan laporan itu sebagai telus dan adil.

Laporan tersebut mengandungi beberapa nasihat serta cadangan kepada kerajaan untuk kepentingan negara dan rakyat namun terserah kepada Ahmad Zahid sama ada hendak mendedahkan atau tidak kepada umum, katanya pada sidang media di sini.

Hanif, yang juga bekas Ketua Polis Negara, berkata pihaknya menyiapkan laporan itu selepas mengadakan 50 mesyuarat dan berdasarkan 10 terma rujukan.

Saksi yang memberi keterangan kepada panel tersebut terdiri daripada 22 pegawai dan anggota polis, lapan anggota media, empat daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) termasuk pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, empat pegawai penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dua petugas syarikat pengendali pengangkutan awam, Prasana Negara Bhd (Prasana) dan lima orang awam.

Selain 45 saksi itu, Hanif berkata seorang anggota PAS dari Unit Amal parti itu turut memberi keterangan.

"Kita menggunakan rakaman video selama 73 minit serta gambar berkaitan yang diperoleh daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta yang telah dimuatnaik di internet oleh orang awam," katanya.

Mengenai jumlah anggota polis yang paling ramai menjadi saksi, Hanif berkata ini kerana mereka bersetuju untuk menjadi saksi sedangkan pihaknya membuka ruang kepada orang awam yang ingin menjadi saksi tetapi watak utama dalam perhimpunan tersebut enggan memberi kerjasama.

"Kita tiada kuasa untuk memaksa mereka memberi keterangan, ada yang memberitahu telah bekerjasama dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengenai perkara tersebut," katanya.

Katanya laporan Suhakam menjurus kepada hak asasi manusia manakala panel bebas ini diwujudkan bagi mendapatkan gambaran sebenar sebelum, semasa dan selepas perhimpunan tersebut namun pihaknya tetap menggunakan laporan oleh Suhakam bagi melengkapkan siasatan.

Selain Hanif, anggota panel penasihat itu terdiri daripada bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steven Shim, Pengarah Urusan Kumpulan Akhbar Sinar Harian, Datuk Husammuddin Yaacub, Penasihat Undang-undang Kumpulan Akhbar Sin Chiew, Liew Peng Chuan, Pengurus Besar Kanan Hal Ehwal Korporat Petronas, Datuk Medan Abdullah, dan Pakar Psikologi UKM Prof Dr Ruszmi Ismail. - BERNAMA

Artikel Lain