suria

Jadual Kerja Fleksibel Kunci Pikat Semula Wanita Kembali Bekerja

KUALA LUMPUR: Syarikat yang menawarkan jadual kerja fleksibel adalah kunci utama untuk memikat semula hati wanita profesional supaya kembali bekerja, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata, jadual kerja fleksibel adalah strategi yang digunakan negara-negara maju dan menyediakan keseimbangan antara kerja dan kehidupan yang menjadi perkara penting untuk menarik dan mengekalkan pekerja terutama golongan ibu yang mahukan lebih banyak masa bersama keluarga mereka.

"Majikan harus melihat kepada pelbagai penyusunan, seperti perkongsian kerja antara pekerja, bekerja di rumah dan jadual fleksibel di mana pekerja memilih untuk mula dan menamatkan kerja," katanya.

Rohani yang melancarkan flexFair Job Fair di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini turut mengucapkan tahniah kepada syarikat yang telah menawarkan jadual kerja fleksibel menerusi laman web flexWorkLife.my.

Antara 18 syarikat mengambil bahagian dalam program tersebut yang dianjurkan oleh TalentCorp Malaysia Bhd dan disokong oleh MyStarjob.com itu adalah Accenture, Air Asia X, CareerExcell, Convergys, Dell, Ernst & Young, HEARTS, Hewlett Packard, IBM, Intel, Kelly OCG, Manpower, McDonald’s, PwC, QSR Brands, Scope International, Secu­rities Commission Malaysia dan Telekom Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala berkata jadual kerja fleksibel juga penting bagi golongan lelaki yang turut memainkan peranan penting sebagai ketua keluarga.

"Terdapat peluang yang sama untuk kedua-dua golongan ini tetapi fokus lebih kepada wanita kerana ramai di antara mereka berhenti kerja kerana keluarga," katanya.

Eksekutif bank, Low Mei Ling, 29 berkata, dia sedang mencari waktu kerja fleksibel dalam usaha untuk menghabiskan lebih banyak masa bersama dua anaknya yang berusia satu dan tiga tahun.

"Saya tidak mempunyai masalah sekiranya syarikat menawarkan saya dengan gaji rendah selagi kerja yang dilakukan fleksibel dengan masa dan peranan saya sebagai ibu," katanya.

Ketua Pengurusan X Talent Air Asia, Faz Kamaruddin berkata, syarikat itu menawarkan jadual kerja fleksibel untuk beberapa jabatan seperti komunikasi korporat dalam penjenamaan dan pemasaran.

Artikel Berikut

Artikel Lain